Ingatkan kena samun, rupanya ibu cagar kereta anak untuk pinjam ‘along’ RM100,000

Oleh KIM SYAZIE

Tular video berani mati tiga lelaki ‘menyamun’ kereta pada siang hari di persimpangan lampu isyarat dekat kawasan Mak Mandin, Butterworth, kelmarin.

Pastinya ramai yang menyangka bahawa pemilik kereta mungkin tidak membayar pinjaman hingga ditarik namun cerita sebenarnya adalah berbeza.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, suspek telah diupah seorang pemberi pinjaman wang untuk merampas kereta mangsa.

“Dalam kejadian ini sebenarnya, ibu mangsa berusia 57 tahun membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 pada tiga tahun lalu dengan seorang pemberi pinjaman wang (along).

“Ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan kereta anaknya melalui satu perjanjian bertulis sekiranya gagal membayar pinjaman berkenaan,” katanya dalam kenyataan media.

Jelasnya, susulan kegagalan ibu membayar pinjaman itu menyebabkan kereta anak lelakinya dirampas sebagaimana video tular berkenaan.

Ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 49 tahun berjaya ditahan dalam serbuan berasingan semalam di Kuala Kangsar, Perak, dan Seberang Jaya serta Butterworth, Pulau Pinang.

“Dalam serbuan itu, polis merampas sebuah kereta dan pakaian yang dipakai oleh ketiga-tiga suspek. Ketika ditahan, kesemua suspek berada di bawah pengaruh dadah,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Baca juga: Gelakkan orang beli pisang ‘online’, sekali kantoi pekerja kurier suka buka ‘parcel’ pelanggan