Orang ramai dilihat menyindir Perdana Menteri menyangkakan Naib Presiden Umno itu tampil membuat laporan polis berhubung isu Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Reaksi warganet itu susulan tindakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat laporan kepada SKMM dan PDRM selepas akaun peribadi Telegram dan Signal miliknya digodam pihak tertentu.
Antaranya, Hazery Zakaria menulis, “Ingatkan nak buat laporan pasal isu LCS” manakala Ijat Man bertanya, “Kapal halimunan tak nak lapor polis sekali ke?”
Dalam hal berkaitan, akaun Telegram milik Menteri Luar Saifuddin Abdullah juga malam tadi digodam, beberapa jam selepas perkara sama berlaku terhadap akaun milik Ismail Sabri.
Semalam, Ismail menerusi Twitter meminta sesiapa yang menerima mesej daripada akaun Telegram miliknya supaya mengabaikan dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Projek pembinaan LCS yang merupakan perolehan terbesar dalam sejarah MINDEF mengundang kritikan pihak pembangkang apabila tiada kapal yang diterima setakat ini walaupun kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal itu.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ketika sesi soal jawab di Dewan Negara, memberitahu kapal pertama LCS diharap dapat disiapkan dalam tempoh satu atau dua tahun lagi untuk diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Walau bagaimanapun, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong dalam satu kenyataan bersama membidas penerangan Hishammuddin itu.
“Menurut kontrak asal, fasa reka bentuk terperinci sepatutnya dilaksanakan dari 6 Ogos 2014 hingga 29 November 2016, namun fasa itu berterusan sehingga hari ini dan masih belum selesai.
“Proses reka bentuk adalah proses yang paling penting dalam pembinaan LCS. Tanpa reka bentuk lengkap yang diluluskan Naval Group dan Bureau Veritas, projek LCS tidak dapat diteruskan dan sebarang status siap kerja yang lain adalah tidak bermakna,” kata Mohamad dan Chin Tong.
Baca juga Ingatkan puluhan ribu ringgit, rupanya gaji Arif Aiman hanya RM11,000