“Ingatkan suami hias rumah sambut aku balik berpantang, rupanya wanita lain kemaskan”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka perkahwinan jarak jauh (PJJ) yang ditempuhinya bersama suami tersayang retak selepas empat tahun mereka berumah tangga.

Memutuskan untuk menikah selepas lima tahun bercinta di alam universiti, wanita dikenali sebagai Rina itu rupanya telah dikhianati oleh lelaki paling dipercayainya selama ini.

Berikut adalah penderitaan dialami oleh Rina yang harus mengharungi tempoh berpantang dalam keadaan penuh keperitan selepas rahsia besar suaminya mula terbongkar.

“Aku Rina, berusia 38 tahun. Seorang ibu yang bekerja di sebuah sekolah menengah harian terletak di utara tanah air sebagai guru. Aku juga memiliki seorang cahaya mata. Suami aku pula pegawai imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Suami dapat tawaran bekerja sebagai pegawai selepas kami berkahwin.

“Ketika itu, aku masih di dalam sesi latihan guru. Jadi kami menjalani hubungan PJJ. Aku akan datang tempat latihan suami di setiap hujung minggu. Terpaksa berkorban masa dan tenaga untuk ke sana sebab suami belum ada kereta waktu itu. Jadinya kalau tak larat, aku akan pergi naik bas sahajalah untuk pergi ke tempat suami.

“Alhamdullilah selepas setahun lebih, aku ditempatkan di salah sebuah sekolah dan suami pula di KLIA. Jarak yang jauh sememangnya memisahkan kami. Sekarang bukan setakat tiap-tiap minggu, malah kadang-kadang sampai dua bulan sekali barulah kami dapat berjumpa. Itu pun dapat luangkan masa sehari setengah sahaja.

“Alhamdullilah masuk tiga tahun kami PJJ, aku disahkan mengandung anak pertama. Jadi, memang suami akan kerap datang ke tempat aku. Tetapi aku tetap memandu kereta pergi klinik sendiri, check-up anak. Malam-malam kaki kebas, urut sendiri. Kalau loya atau muntah terpaksa hadap seorang dekat sini. Memang sedih sangat.

“Sudah lebih 20 kali aku memohon pertukaran ke negeri suami bekerja. Tetapi malangnya belum ada kekosongan. Segala surat rayuan pelbagai jenis dan jabatan aku hantar. Tetapi jawapan yang diterima menghampakan, belum ada kekosongan. Suami juga banyak kali mengisi borang permohonan untuk tukar ke negeri aku mengajar.

“Namun mungkin inilah dugaan kami. Kami akur. Syukur alhamdullilah, aku selamat lahirkan anak lelaki walaupun masa itu suami tiada di sisi. Memang sedih. Selepas lapan jam bersalin, barulah suami sampai hospital. Suami bawa aku balik ke kuarters yang dia tinggal untuk berpantang. Dia pilih untuk menjaga aku ketika berpantang.

“Memang berbunga-bunga hati. Aku tahan sakit dan perit selepas bersalin dalam perjalanan ke kuarters suami yang memakan masa tujuh jam itu. Suami memandu perlahan sangat. Tiada hentakan kereta. Syukur sangat dapat suami yang memahami. Bermulalah episod aku berpantang di kuarters suami. Rumah itu suami siap hiaskan lagi.

“Bersihkan cantik-cantik sebab aku dan anak nak duduk. Aircond siap dipasang, tak nak bagi aku kepanasan dalam rumah. Katanya, nak aku selesa di dalam kuartes itu. Cair terus aku. Lagi bertambah-tambah cinta sayang dengan suami. Tetapi langit tak selalunya cerah. Aku mula perasan perubahan sikap suami.

“Telefon suami akan berdering setiap lima minit. Mesej di Whatsapp juga akan masuk setiap lima ke 10 minit. Kalau tanya dia cakap boss nak laporanlah, update itulah, inilah. Nampak riak muka suami macam cuak apabila aku kerap bertanya dan sindir dia, ‘hai sayang, sibuk mengalahkan perdana menteri ya telefon sayang’.

“Suami senyum dan perlahankan volume. Kadang-kadang suami akan tetapkan nada vibrate apabila sampai rumah agar telefon tak berdering lagi. Memang hati aku kurang sedap dan mengesyaki sesuatu. Aku cuba tepis perasaan itu. Tak mungkinlah suami curang sebab tahun ini, sudah masuk tahun ke sembilan kami berkenalan.

“Sejak dari zaman belajar lagi. Aku kenal sangat perangai suami. Tipulah kalau cakap aku tak pernah periksa telefon dia. Tetapi semua naik nama lelaki macam En Shahid, En Zarif atau Adam. Semua lelaki dan nama-nama itu semua aku kenal. Memang pegawai atasan dan kawan suami di pejabat. Hati ini menjadi lebih tenanglah.

“Sebabnya nama lelaki yang tertera di skrin telefon suami. Jadi, aku buang jauh-jauh rasa syak wasangka terhadap suami dan yakin dia keluar mencari rezeki untuk mencari nafkah dengan ikhlas. Masuk hari ke-35 berpantang, aku terasa teringin nak keluar rumah sebab anak kami terkena kuning. Mak pesan, kena ikut petua orang kampung.

“Jemurkan dekat cahaya matahari pada waktu pagi untuk mengurangkan kuning. Aku ambil kerusi, meja dan lapik dengan toto kecil untuk jemur anak di pangkin kuartes. Masa itu, memang ada jiran yang lalu depan rumah tegur aku dan anak. Tetapi yang peliknya, sudah dekat empat orang lalu depan rumah tanya soalan yang sama.

“Kata mereka, ‘Awak isteri Zarul ke? Wahh, comelnya bayi. Tak pernah nampak awak dekat sini, awak baru kahwin ke?’. Aku senyum dan balas, ‘Taklah, saya sudah tiga tahun kahwin dengan suami’. Riak mereka seperti sembunyikan sesuatu hinggalah seorang wanita berusia lingkungan 45 tahun lalu depan rumah. Aku namakan dia Akak Siti.

Akak Siti: Eh Fasha, bila kau mengandung lagi. Akak lalu sini tak perasan pulak kau. Eh. Awak siapa?

Aku: Saya Rina, isteri Zarul. Baru saja bersalin bulan lepas. Berpantang di rumah suami.

Akak Siti: Oh, Zarul kahwin lain ke? Tak pernah nampak pula awak. Maaf ya, awak isteri ke dua ke pertama?

Aku: Sayalah satu-satunya isteri Zarul. Tiada ke dua atau ketiga. Saya seorang sahaja isteri Zarul.

“Akak Siti terdiam hanya mampu tersenyum sinis. Walau aku tahu dia terlepas cakap. Memang aku rasa nak pitam. Nak nangis selepas Akak Siti soalan macam itu dekat aku. Dia salam aku sebelum berlalu pergi. Dalam hati memang terdetik, ‘Kau siap Zarul, kau siap. Aku nak pengakuan dari mulut kau sendiri’. Aku bawa anak masuk selepas itu.

“Memang hati aku rasa remuklah. Suami balik petang, aku berlakon tuangkan air teh dekat dia. Tanyalah nak makan apa, aku masakkan. Aku sudah siap tidurkan anak waktu itu. Dia minta masakkan maggi goreng. Aku buatkan siap letak telur mata atas maggi. Mukanya memang senyum habislah. Mungkin juga memang tengah kebulur.

“Tengah suami suap maggi ke mulut aku pun mula cakap, ‘Ayang, tadi Fasha datang cari’. Suami punyalah tersedak, sampai maggi terkeluar dari lubang hidung dia. Memang sakit sangat aku tengok dia waktu itu. Aku cuba urutkan belakang badan dia dan berikan air. Dia tolaklah pinggan maggi yang tak habis dimakan ke tengah meja.

Suami: Fasha? Kenapa?

Aku: Entah, dia cari ayang. Cantikkan dia yang. Ayu sahaja mukanya. Tak macam saya baru lepas bersalin sememeh. Dia siap bawa anak lagi.

Suami: Ha? Okay, nanti abang telefon. Tanya apa dia nak.

Aku: Siapa Fasha tu ayang?

Suami: Err, kawan abang.

Aku: Iya ke ayang? Entah-entah isteri ke dua ayang kot?

Suami: Eh, jangan merepeklah. Awak seorang sahaja isteri saya.

Aku: Betul ke ayang? Saya sedia terima kalaulah dia isteri ayang. Cuma abang kena jujur dengan saya sahaja. Saya tak kisah.

“Muka suami berubah selepas dengar aku cakap macam itu. Dia mula tak senang. Bangun duduk di kerusi ruang tamu rumah kami. Dia panggillah aku duduk sekali dan cakap, ‘Sebenarnya ada perkara yang abang nak beritahu. Harap sayang dengarlah dan tak salahkan abang. Dengar penjelasan abang sampai habis dahulu’.

“Memang sah suami mengaku di depan aku. Si Fasha ini isteri kedua dia. Lebih kurang setahun mereka berkahwin tanpa pengetahuan aku dan juga keluarga suami. Mereka kahwin senyap-senyap tetapi bukan di Selatan Thailand, di Malaysia. Majlis kahwin kecil-kecilan sahaja. Sebenarnya, aku terus ke rumah Kak Siti selepas dia terlepas cakap.

“Selang empat pintu dari kuarters kami sahaja. Aku korek segala rahsia yang Kak Siti terlepas cakap. Rupa-rupanya, selama ini suami duduk di kuarters dengan Fasha. Semua jiran tetangga tahu yang Zarul berkahwin dengan Fasha, bukannya dengan aku. Sebab selepas kami dinikahkan, aku memang tak pernah tinggal di kuarters ini.

“Patutlah rumah suami bersih dan kemas. Rupa-rupanya si Fasha yang kemaskan. Aircond yang dia pasang bukan untuk aku rupanya. Tetapi untuk Fasha dan bayi mereka. Barang di dapur lengkap sebab Fasha yang masak untuk suami. Untunglah ada isteri dekat dan jauh. Selepas minta penjelasan, dia mengaku kenal Fasha waktu latihan.

“Tetapi Fasha tak lepas dan gagal jadi pegawai waktu itu. Suami memang rapat dengan Fasha untuk penuhi masa terluang. Apabila jarang jumpa aku, memang keinginan dan rasa jatuh cinta secara tiba-tiba wujud di dalam hati suami. Akhirnya dia buat keputusan untuk kahwini Fasha tanpa pengetahuan aku dan keluarganya.

“Suami akui memang hati tak tenang selepas mengambil keputusan membelakangi aku dan keluarganya dengan berkahwin secara diam-diam. Apabila mendengar satu per satu alasan suami, hati aku memang hancur remuk. Sudahlah anak kami baru sahaja lahir. Malam itu juga aku minta izin Zarul untuk pulang ke rumah ibu bapaku.

“Aku minta masa untuk bertenang bersama dengan bayi kami. Mulanya memang suami menolak sekeras-kerasnya sebab dia masih mahu menjaga aku waktu itu. Tetapi aku merayu untuk dihantar ke kampung sekiranya dia tak nak perkara yang tak diigini berlaku. Zarul hantar ke kampung malam itu juga. Dalam kereta aku berdiam diri.

“Suami tanya apa pun tak jawab, aku boikot dia. Sampai sahaja di kampung malam itu, aku minta dia jangan cari dalam tempoh sebulan. Beri aku masa. Aku tak tahu nak terima berita ini macam mana. Adakah ini ujian untuk aku atau sebaliknya. Dekat kedua orang tua pun, aku masih jaga aib suami. Tak beritahu dia sudah berkahwin lain.

“Aku banyak berkurung diri di dalam bilik. Hanya tangisan menemani aku setiap malam. Tergamak Zarul perlakukan aku begini. Sekarang sudah masuk sebulan di kampung, Zarul memang ada usaha untuk memujuk aku kembali. Tetapi aku abaikan. Hati aku masih belum boleh terima kehadiran Fasha dalam hidup kami suami isteri.

“Aku sangka perkahwinan PJJ ini indah tetapi dikhianati suami sendiri. Para pembaca semua, doakanlah hati aku terbuka untuk terima dugaan ini. Untuk terima madu aku. Walaupun kadang-kadang memang aku terfikir untuk cerai sahaja.” Luah Rina (bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Aku tak faham betul ipar ni, asalkan datang je waktu maghrib, makan nak ‘free’, anak siap suruh aku jaga…”