Rata-rata penduduk Sabah berharap konsep Malaysia Madani yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mampu menaik taraf sosioekonomi rakyat di negeri itu terutama melalui ekonomi manusiawi.
Penasihat Takaful Brenda Bernard, 43, berkata melalui konsep Madani yang merangkumi ekonomi dan kewangan akan memberi sinar baharu dalam pelbagai aspek pembangunan kepada Sabah yang selama ini diidam-idamkan oleh penduduknya.
“Sudah tiba masanya, kesejahteraan rakyat lebih diberi tumpuan dan kita mahu melalui kerangka Madani itu akan menaik taraf sosioekonomi rakyat,” katanya kepada Bernama dan berharap tiada lagi rakyat miskin tegar di Sabah di masa akan datang dengan konsep Malaysia Madani itu.
Anwar ketika mengumumkan konsep Malaysia Madani berkata kerajaan akan menstruktur semula ekonomi negara berlandaskan kepada tiga keutamaan strategik iaitu membasmi kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi berteraskan konsep itu.
Perdana Menteri juga berkata pertumbuhan dan pengembangan ekonomi negara melalui Malaysia Madani juga perlu dicapai dalam konteks yang lebih luas iaitu ekonomi manusiawi yang mengutamakan keperluan rakyat.
Ahli pertubuhan bukan kerajaan Yayasan Wisdom, Salbinous Saribun 38, berkata Malaysia Madani mampu memulihkan dan memberikan kestabilan ekonomi kepada Sabah dan negara ini, yang ia adalah penting dalam usaha memberikan kemudahan kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar.
Beliau berkata ramai yang terkesan terutama di Sabah akibat kenaikan harga barang khususnya penduduk di pedalaman dan luar bandar selain kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air yang masih tiada perubahan.
“Perkara ini saling berkait contohnya orang kampung perlu jalan perhubungan jika ingin memasarkan hasil ladang, menyedihkan kerana masih terdapat penduduk kampung yang sukar membawa hasil tanaman ke pekan untuk dijual bagi memperoleh pendapatan berikutan kesukaran jalan perhubungan,” katanya.
Bagi seorang peniaga dan penghantar makanan Awang Basser Awang Nasseb, 29, pula berpendapat Malaysia Madani perlu melihat kepada cara terbaharu pembangunan ekonomi rakyat antaranya bidang keusahawanan dalam talian dan ‘ekonomi gig’ yang diceburi ramai belia kini.
Beliau berharap ekonomi manusiawi menerusi Malaysia Madani akan lebih menjurus kepada bagaimana untuk membantu membangunkan ekonomi belia di Sabah terutama dari segi menjana pendapatan.
“Konsep belajar dan peroleh kelulusan untuk dapatkan pekerjaan sudah kurang sesuai untuk belia masa ini, justeru ekonomi manusiawi perlu menjadi pemangkin bagi membangunkan generasi belia yang mampu berdiri sebagai penjana ekonomi dan bukan makan gaji sehingga ke akhir hayat,” katanya.
— BERNAMA
Baca juga : Suhaimi Sulaiman dilantik KP Jabatan Penyiaran Malaysia