Ini harapan rakyat Sabah terhadap Malaysia Madani

Oleh MALAYSIADATELINE

Rata-rata penduduk Sabah berharap konsep Malaysia Madani yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mampu menaik taraf sosioekonomi rakyat di negeri itu terutama melalui ekonomi manusiawi.

Penasihat Takaful Brenda Bernard, 43, berkata melalui konsep Madani yang merangkumi ekonomi dan kewangan akan memberi sinar baharu dalam pelbagai aspek pembangunan kepada Sabah yang selama ini diidam-idamkan oleh penduduknya.

“Sudah tiba masanya, kesejahteraan rakyat lebih diberi tumpuan dan kita mahu melalui kerangka Madani itu akan menaik taraf sosioekonomi rakyat,” katanya kepada Bernama dan berharap tiada lagi rakyat miskin tegar di Sabah di masa akan datang dengan konsep Malaysia Madani itu.

Anwar ketika mengumumkan konsep Malaysia Madani berkata kerajaan akan menstruktur semula ekonomi negara berlandaskan kepada tiga keutamaan strategik iaitu membasmi kemiskinan, penstrukturan semula ekonomi dan memulih serta menjana ekonomi berteraskan konsep itu.

Perdana Menteri juga berkata pertumbuhan dan pengembangan ekonomi negara melalui Malaysia Madani juga perlu dicapai dalam konteks yang lebih luas iaitu ekonomi manusiawi yang mengutamakan keperluan rakyat.

Ahli pertubuhan bukan kerajaan Yayasan Wisdom, Salbinous Saribun 38, berkata Malaysia Madani mampu memulihkan dan memberikan kestabilan ekonomi kepada Sabah dan negara ini, yang ia adalah penting dalam usaha memberikan kemudahan kepada rakyat terutama di kawasan luar bandar.

Baca Artikel Penuh