Ini koleksi bahasa Melayu dari mulut PMX yang jarang kita dengar

Oleh ROSLAN ZAMAN

Mutakhir ini, rakyat Malaysia banyak mendengar bahasa baru yang keluar dari mulut Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim. Melihat latar belakang PMX dalam bidang sastera, maka tidak hairanlah banyak perkataan-perkataan dianggap baru muncul.

Untuk rekod. Perdana Menteri memperkenalkan lapan perkataan bahasa Melayu yang jarang didengar dan digunakan orang ramai ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen pada tahun yang lepas.

Marcapada dan arakian antara perkataan sastera yang disebut Perdana Menteri sekali gus menarik perhatian sidang dewan dan orang ramai yang menonton ketika membentangkan belanjawan berkenaan.

Marcapada bermaksud dunia masa kini, manakala arakian bermaksud maka atau sesudah itu, menurut Dewan Bahasa dan Pustaka.

Selain itu, beliau turut menggunakan perkataan taakul yang bermaksud membuat pertimbangan atau penilaian, manakala perkataan intiha antara perkataan menarik yang disebut oleh Anwar yang membawa maksud penutup atau penghabisan.

Mahsul, kesenjangan, sementelahan dan walhasil juga menjadi perkataan menarik yang jarang digunakan secara formal, namun disebut oleh Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen.

Berdasarkan rujukan menerusi DPB, mahsul membawa maksud hasil atau pendapatan, kesenjangan pula bermaksud ketidakseimbangan, manakala sementelahan bermaksud tambahan pula dan walhasil bermaksud kesimpulannya.

Anwar turut meneruskan tiga lagi penggunaan istilah bahasa Melayu yang pernah digunakan pada belanjawan sebelum ini seperti ketimbang, maha kaya dan kendatipun.

Ketimbang memberi maksud berbanding, manakala mahakaya bermaksud maha kuasa dan kendatipun pula bermaksud meskipun menjadi salah satu perkataan unik yang disebut Anwar dalam pembentangan belanjawan berkenaan.

Penggunaan perkataan luar kebiasaan itu sejak sekian lama menjadi identiti Anwar yang juga berkelulusan Sarjana Muda Pengajian Melayu pengkhususan Sastera di Universiti Malaya (UM).

baca: Anggap rezeki sebagai satu tanggungjawab, Fattah Amin tak tamak, mahu puaskan hati semua pihak