Siapa sangka, seorang lelaki bergelar suami begitu ‘berani’ menggunakan nama Harimau Malaya untuk menyimpan nombor telefon isterinya di dalam telefon bimbit miliknya tanpa pengetahuan wanita terbabit.
Perkara itu bagaimanapun terbongkar selepas suami terbabit ‘diterjah’ oleh isterinya secara diam-diam ketika lelaki berkenaan begitu khusyuk bermain telefon bimbit dengan membuka aplikasi Whatsapp.
Menerusi satu perkongsian video di platform TikTok, isteri kepada lelaki itu dilihat sedang merakam dari belakang ketika suaminya sedang sibuk memeriksa semua pesanan dalam aplikasi tersebut.
Sang isteri kemudian perasan salah satu daripada kenalan suaminya di dalam aplikasi tersebut disimpankan dengan menggunakan nama Harimau Malaysia sebelum wanita terbabit menyergah suaminya.
Wanita itu kemudian terus bertanyakan kepada suaminya tentang pemilik sebenar nombor telefon tersebut ekoran khuatir jika lelaki terbabit menggunakan nama Harimau Malaya untuk menyimpan maklumat perempuan lain.
“Siapa ‘Harimau Malaya’? Awek mana ‘Harimau Malaya’?” Soal wanita itu kepada suaminya di dalam video berdurasi 37 saat yang dimuat naik di platform TikTok melalui akaun milik suaminya.
Rupa-rupanya, pemilik nombor tersebut bukanlah orang lain sebaliknya sang isteri itu sendiri yang mana situasi panik namun cukup menghiburkan sempat dirakamkan di dalam video berkenaan.
Suami terbabit nampak cukup tenang ketika menjawab pemilik nombor berkenaan adalah isterinya namun turut panik sekiranya kejadian itu boleh membuatkannya tidur asing bersama pasangannya.
“Naya, tidur bilik asinglah selepas ini,” tulis lelaki terbabit dalam nada berseloroh di ruangan kapsyen perkongsian video tersebut bersama dengan tanda pagar #harimaumalaya.
Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih mencecah 300,000 tontonan daripada pengguna TikTok dengan rata-ratanya mengakui terhibur dengan perkongsian itu.
Beberapa individu juga turut berkongsikan nama sebenar yang tidak romantis namun mencuit hati digunakan oleh pasangan masing-masing untuk menyimpan nombor telefon mereka.

Baca juga: Tambah kategori barangan SARA, sabun basuh baju antara yang tersenarai