Bagi masyarakat Cina di negara ini, sambutan Tahun Baru Cina seolah-olah tidak lengkap tanpa hidangan Yee Sang yang menjadi penyeri buat setiap acara makan besar.
Menurut kepercayaan masyarakat Cina, terdapat beberapa jenis makanan tradisional termasuk Yee Sang yang dilihat sebagai simbol kepada kemewahan, kekayaan, kebahagian dan kemakmuran.
Dalam bahasa Cina, Yee bermaksud ‘Ikan’ yang juga mempunyai persamaan sebutan dengan perkataan ‘senang’ dan Sang bermaksud ‘mentah’ yang sering disamakan dengan ‘kelahiran semula’.
“Jadi, kami percaya seseorang akan diberkati dengan kesejahteraan dan dipanjangkan umur dengan memakan Yee Sang, selain dilimpahi kebaikan dan dikurniakan tuah tidak kira bidang yang diceburi,” Timbalan Pengarah Pemasaran Sunway Velocity Mall, Darren Chear berkongsi kisah Yee Sang memetik laporan Bernama.
Yee Sang dipercayai mula dihidangkan kira-kira 1,500 tahun yang lalu di kawasan pantai selatan China terutamanya di wilayah Chaozhou dan Shantou semasa pemerintahan Dinasti Song.
“Ia juga turut dikaitkan dengan sebuah legenda atau mitos iaitu Dewi Nu Wa yang kononnya mencipta manusia pada hari ketujuh selepas tahun baharu dan hidangan Yee Sang disediakan oleh kaum nelayan dan pelaut China Selatan ketika itu bagi memperingati kisah itu,” jelas Chear.
Menurut Chear, idea menghasilkan hidangan ini muncul ketika zaman Dinasti Song kerana terdapat lebihan makanan seperti keropok, lobak merah, lobak putih, limau bali, halia dan sebagainya selepas merayakan Tahun Baru Cina.
Chear memberitahu Bernama, walaupun Yee Sang berasal dari Tanah Besar China, namun masyarakat di sana tidak pernah mendengar apatah lagi mempraktikkan budaya memakan dan menggaul hidangan itu ketika Tahun Baru Cina.
Beliau berkata, ramai yang tidak tahu sebenarnya Yee Sang dipopularkan oleh seorang ahli perniagaan dari Seremban, Negeri Sembilan iaitu Loke Ching Kee pada tahun 1940-an dan mereka melakukan acara melambung Yee Sang sambil melaungkan ‘Lou Hei’ yang bermaksud ‘gaul naik’.
Ia juga bermaksud mengucapkan kata-kata yang baik seperti ‘semoga bertambah rezeki’, ‘semoga panjang umu’, ‘semoga keluarga bahagia’.
Ia umpama doa yang merupakan simbolik kepada permohonan dan pengharapan agar tuah dan rezeki akan bertambah pada tahun yang mendatang.
Pada kebiasaannya, menu Yee Sang disajikan sebagai hidangan pembuka selera sebagai simbol penyatuan dan lambang kemurahan rezeki.
Upacara ‘Lou Hei’ akan dilakukan sebelum makan dengan semua orang berkumpul mengelilingi meja dan akan menggaul serta melambung isi Yee Sang yang terdiri daripada sayur-sayuran, ikan mentah dan sos.
Baca juga: Kenapa orang Cina suka sangat nombor 8? Rupanya sebab…