“Ini yang duduk dekat paru-paru saya” – Wasiat terakhir penghisap vape tegar undang keinsafan

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang penghisap tegar ‘vape’ ataupun rokok elektronik sempat meninggalkan pesanan khusus terhadap mereka yang memiliki tabiat serupa sebelum menghembuskan nafas terakhirnya pada 7 Mei lalu.

Menerusi satu perkongsian video di platform TikTok, lelaki berusia 44 tahun yang menghidap komplikasi jantung serius itu meminta agar orang ramai berhenti menghisap vape jika tidak mahu mengalami nasib sama dengannya.

Difahamkan, fungsi jantung milik lelaki berkenaan hanya tinggal tiga peratus (3%) sahaja akibat daripada amalan rutin menghisap peranti itu selama hampir empat tahun selepas mengalami tekanan kerja.

Pesara tentera itu memaklumkan bahawa antara perkara yang boleh dilakukannya di tahap sedemikian hanyalah meninggalkan ‘wasiat terakhir’ sementara mendapatkan rawatan di sebuah hospital.

“Pada dua minggu yang lalu, Abang Rock (perakam video) dimasukkan ke dalam wad ini. Disebabkan apa? Jantung. Jantung sudah lemah. (Fungsi) jantung hanya tinggal tiga peratus sahaja untuk hidup.

“Oleh kerana hanya ada tiga peratus untuk hidup, jadinya yang tinggal boleh berikan kata-kata wasiat sahaja. Kata tipu? Ini dia. Sudah warna kuning! Macam air jambu batu. Selagi tak jernih, saya tak boleh keluar dari wad,” katanya.

Lelaki itu berkata sedemikian sambil menunjukkan beg saliran perubatan berisi cecair berwarna kekuningan yang dikeluarkan dari paru-parunya dipercayai terkumpul di dalam badannya selama ini.

Arwah yang menjadi penghisap vape tegar selama empat tahun itu mengakui sanggup memegang peranti tersebut ketika menunggang motosikal dan menghisapnya selama melakukan perjalanan sehingga mencecah sembilan jam.

“Apa benda ini? Inilah benda yang duduk dekat paru-paru saya sehingga melemahkan jantung. Sampaikan (fungsi) jantung tinggal tiga peratus. Kalau ‘ride’ (menunggang motosikal) sampai Thailand, sembilan jam.

“Sebelah tangan pegang handle motosikal. Sebelah lagi pegang vape. Memang penghisap vape tegar. Kalau kau kata kuat, sembanglah,” kongsinya dalam rakaman yang berdurasi enam minit 36 saat itu.

Mengulas lanjut, lelaki itu memberitahu bahawa dirinya sudah nekad untuk berhenti menghisap vape selepas menonton video motivasi di TikTok daripada seorang doktor mengenai kesan buruk tabiat tersebut.

Bagaimanapun dua hari selepas berhenti, lelaki terbabit segera dikejarkan ke hospital selepas mengalami sesak nafas dan lemah jantung secara tiba-tiba sebelum disahkan berada di dalam keadaan kritikal.

“Baru nak mula insaf hisap vape. Nak tinggalkan tabiat itu sebab sudah takut. Tetapi selepas dua hari, sesak nafas. Lemah jantung. Terus pergi hospital dan disahkan kritikal. Kepada orang muda, berhentilah hisap vape.

“Mereka yang masih ada, berpeluang lagi untuk berhenti. Budak muda jantung lemah, paru-paru itu mudah rosak.” Ujarnya mendedahkan tiga pesakit lain di bawah usia 30 tahun dirawat dalam wad sama sudah meninggal dunia.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna terinspirasi dengan kisah arwah dan mahu mula berhenti menghisap vape selain mendoakan agar lelaki berkenaan memperolehi pahala setimpal.

Baca juga: Tuntut RM50k lepas putus dengan bekas kekasih, warga emas mengaku bersalah simbah simen