“Inilah jantan tak ada teloq yang bawa lari…”, Rozita Che Wan minta bantuan cari individu ini

Oleh WAN SITI AMINAH

Satu tangkap layar memaparkan akaun Facebook dimiliki oleh seorang individu tular di media sosial, baru-baru ini selepas dikongsikan oleh pelakon, Rozita Che Wan.

Wanita berusia 51 tahun itu mendakwa, individu berkenaan merupakan orang yang membawa lari pembantu rumah adiknya iaitu pelakon, Ayu Raudhah pada Ogos lalu.

Perkara berkenaan didedahkan oleh pelakon yang mesra disapa Che Ta itu menerusi satu hantaran dimuat naiknya sendiri di akaun Instagram miliknya, @rozitachewan1.

Dalam hantaran sama, isteri kepada aktor kacukan iaitu Zain Saidin itu turut meminta orang ramai menularkan perkongsian tersebut agar individu terbabit dapat dijumpai.

“Inilah jantan h*nat tak ada teloq (telur/rasa malu) yang bawa lari pembantu rumah Ayu Raudhah dua orang itu. Kau (pelaku) tunggu sat (kejap)! Tolong viralkan nurtizen,” katanya.

Rozita sebelum ini memberitahu pihak polis sudah dapat mengesan lokasi dua pembantu rumah warga Indonesia yang melarikan diri dari rumah diduduki Ayu pada 21 Ogos lalu.

Berdasarkan siasatan pihak polis, dua pembantu rumah berkenaan dipercayai berada jauh daripada lokasi rumah Ayu di Seremban iaitu di sekitar kawasan Puchong.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Rozita mendakwa dua pembantu rumah tersebut diambil dari kediaman Ayu oleh lelaki yang menaiki kereta berwarna hitam.

Ketika kejadian, Ayu tiada di kediaman itu kerana sedang berpantang di rumah Rozita manakala suaminya iaitu pemain bola sepak, Zaquan Adha keluar bersama anak-anak mereka.

Lebih memburukkan keadaan, salah seorang daripada pembantu yang juga warganegara Indonesia didakwa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain walaupun sudah berkahwin.

Difahamkan, suami kepada wanita itu ada menghantar mesej kepada Zaquan mengenai perancangan isterinya ingin melarikan diri dipercayai mahu mengikut kekasih gelapnya.

Baca juga: Baru tahu wang hantaran Che Ta dengan Zain pada 2013 cecah RM93,000