Inilah masa yang sesuai bagi Umno kembali kepada Islam dan mengamalkan cara hidup Islam dalam segenap sendi perjuangan sama ada politik, sosial dan ekonomi demikian ditegaskan, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi berkata, apabila ada suara positif yang selari dengan kepentingan Islam, negara dan masyarakat majmuk, PAS selamanya akan berlapang dada dan bersikap terbuka terhadap perpaduan dalam bermasyarakat berteraskan syariat Allah s.w.t. dengan mana-mana pihak sama ada Islam atau bukan Islam.
Katanya lagi, PAS adalah sebuah organisasi yang menjadikan al-Quran dan Sunnah, Ijma Ulama dan Qiyas sebagai rujukan dalam menentukan prinsipnya termasuklah gerak kerja dan tindakan membina masa depan sejahtera.
“Lebih enam dekat PAS berjuang membawa Islam dan syariatnya. PAS mengambil pelbagai ruang dan peluang untuk menyedarkan masyarakat termasuk pemimpin politik dan negara agar meletakkan agama sebagaai teras pemerintahan dan penyatuan ummah.
“PAS juga menolak mungkar politik, amalan salah guna kuasa dan tadbir urus serta kerosakan akhlak serta rasuah dalam praktis bernegara,” ujarnya dalam satu kenyataan petang ini.
“Bersandarkan prinsip inilah maka sebarang perkembangan baharu dalam gerak politik PAS akan dinilai, dibincang dan diputuskan dipelbagai peringkat proses dalaman parti, termasuklah perbincangan oleh Jawatankuasa PAS Pusat sehingga mencapai keputusan kolektif,” terangnya.
Abdul Hadi menjawab balas mengenai pelawaan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu menghulurkan “tali silaturahim” kepada PAS untuk bersama membina dan membangunkan negara ini mengikut syariat Islam.
Najib dipetik sebagai berkata, “Maka saudara dan saudari, kita di dalam UMNO, berasa lega, malah gembira, apabila PAS kini tidak lagi bersama dengan parti pembangkang.
“Dengan hati yang terbuka dan sanubari yang merdeka, kita hulurkan tali silaturahim, kita hulurkan ikatan ukhwah menuju kesempurnaan membina sebuah Malaysia di atas syariatnya,” katanya dalam ucapan dasarnya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Umno 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.
Justeru tegasnya lagi, pada waktu ini PAS adalah rakan Tahaluf Siyasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan komited dengan kerjasama tersebut sebagaimana yang telah dicapai dalam muktamar dan diluluskan oleh Majlis Syura Ulama PAS Pusat.