Dewan Ulama Pas Pusat hari ini merasakan perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri Paya Jaras, Khairuddin Othman yang memakai pakaian keagamaan berbentuk dewa yang disembah masyarakat buddha satu insiden yang mendukacitakan.
Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh dalam satu kenyataan yang dipetik dari Harakah.net berkata, dewan itu merasakan ia berlaku bukanlah dengan tujuan melanggar batasan agama jauh sekali memperkecilkan dan mempersendakan syariat Islam.
” Sebaliknya apa yang berlaku hanyalah kerana salah faham dan tidak mengamati kedudukan yang menyerupai bentuk amalan agama lain.
“Oleh itu, Dewan Ulamak PAS mengharapkan kepada semua ahli Pas lebih berhemah dalam apa jua tingkah laku yang membabitkan keagamaan agar ianya tidak menimbulkan permasalahan dan fitnah kepada semua agama yang wujud dalam negara kita tercinta ini.
“Semoga kesilapan ini tidak akan berulang lagi dan kita harap segalanya diampunkan oleh Allah SWT.” ujarnya.
Khairuddin yang juga Setiausaha Pas Selangor, dalam satu kenyataan semalam, mohon keampunan Allah dan meminta maaf jika ada pihak tersinggung kerana tindakannya mengenakan pakaian yang menyerupai Dewa Guo Jiu ketika hadir di majlis Perayaan Tahun Baru Cina di Wangsa Permai.
Katanya, beliau mengenakan pakaian berkenaan selepas penduduk di situ memaklumkan ia adalah pakaian ala Maharaja China.
“Keyakinan saya bahawa perayaan Chinese New Year adalah berbentuk perayaan masyarakat cina dengan sebab itu saya percaya pakaian itu adalah budaya dan ia tidak ada kena mengena dengan agama.
“Sebagai menghormati majlis budaya bangsa lain, saya tak menolak untuk memakainya,” ujar Khairuddin.