Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan letupan di stesen minyak di Taman Mount Austin di Johor Bahru, Johor semalam tiada kaitan dengan aktiviti keganasan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan agar masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi tentang insiden itu.
“Setakat ini tiada sebarang bukti yang boleh dikaitkan dengan unsur keganasan. Jadi orang ramai jangan menyebarkan maklumat palsu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan 100 unit Kerusi Roda kepada PDRM oleh Kelab Rotary Petaling Jaya.
Dalam kejadian semalam seramai enam pesakit maut apabila Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah terbakar.
Enam jam kemudian, seorang lelaki maut dipercayai akibat letupan daripada kebakaran tangki gas asli untuk kenderaan (NGV) di sebuah stesen minyak di Taman Mount Austin di Johor Bahru.
Khalid berkata pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kedua-dua kejadian itu.
“Siasatan yang dilakukan adalah menyeluruh…jika ada elemen sabotaj, kita akan mengenal pasti perkara itu,” katanya.