Insiden Sotong Ride: MB Selangor minta siasatan aspek keselamatan dijalankan

Oleh KIM SYAZIE

Susulan insiden melibatkan tiga cedera di tapak pesta ria di Bandar Puncak Alam semalam, kerajaan Selangor meminta laporan dan siasatan dibuat mengenai aspek keselamatan ‘fun fair’ berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) turut diingatkan agar meneliti aspek keselamatan supaya kejadian sama tidak berulang.

“Walaupun (hanya) ada kecederaan dan tidak membabitkan kehilangan nyawa, semua kena bertanggungjawab dalam hal ini dan PBT perlu lebih prihatin dalam menyemak prosedur serta kelulusan yang diberikan.

“Apa-apa pengoperasian fun fair, taman tema atau sebagainya harus mendapat kebenaran kerana ia membabitkan orang ramai yang datang.

“Sudah pasti saya akan minta semak dari segi undang-undang dan peraturan supaya hal ini tidak berulang,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden tersebut selepas menghadiri Majlis Apresiasi Jelajah Ehsan Rakyat di Wisma PKPS hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, tindakan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) yang tidak mengeluarkan lesen kepada pengusaha pesta ria itu juga menunjukkan PBT itu prihatin (terhadap keselamatan pengunjung).

Sebelum ini, media melaporkan pengusaha pesta ria itu dikesan beroperasi tanpa lesen dan didapati terus berdegil menjalankan operasi meskipun arahan sitaan telah dikeluarkan MPKS pada 29 November lepas.

Baca Juga: Bekas KP Perkhidmatan Awam tak puas hati ditamat perkhidmatan, bakal ambil tindakan pihak menganiaya

Baca Juga: Kerajaan lulus peruntukan RM30 juta untuk kamera badan PDRM