Istitusi dan umat Islam di negara ini diseru supaya kembali kepada dasar Islam dengan mengamalkan budaya akauntabiliti dan ketelusan bagi mengelak skandal penyelewengan seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) terus berulang.
Pendakwah bebas, Ustaz Wan Ji Wan Hussin, 33, berkata, realiti kes rasuah di negara ini turut berlaku di negara-negara penganut Islam di seluruh dunia berbeza dengan negara yang bukan dikenali sebagai negara orang Islam.
“Negara-negara orang Islam juga tinggi rasuah tapi negara-negara yang paling kurang rasuah di dunia, satu pun tidak ada negara orang Islam. Ini bukan salah agama Islam. Ini salah agamawan, di institusi agama Islam.
“Banyak negara Islam juga mengalami hal sama seperti di Malaysia. Di Arab Saudi, sudah hampir 6 juta rakyat Arab Saudi menjadi atheis, kedua tertinggi Mesir dengan kira-kira 800,000 orang. Kenapa?” soalnya.
Katanya lagi, Islam sudah ada dasar tetapi tidak dipatuhi umat Islam.
“Kita patut kembali kepada dasar Islam. Jangan terlalu ‘kekulit-kulitan’, jangan terlalu ‘kefeqah-feqahan’.Kita ambil nilai paling penting ialah nilai dan jiwa kemanusiaan,” tegasnya yang pernah ditahan mengikut Akta Hasutan 1948 ekoran kritikan lantangnya terhadap pihak berkuasa agama.
Sambil membawakan kisah khalifah kerajaan Bani Umayyah, Umar Abdul Aziz dan khalifah Islam yang kedua, Umar al-Khattab yang mempraktikkan nilai akauntabiliti dan ketelusan dalam pemerintahan masing-masing, beliau menegur sebahagian agamawan yang dilihat tidak mengetengahkan kedua-dua nilai yang dituntut oleh Islam itu.
“Orang yang baca al-Quran Nampak saja baik tapi tindakan tidak semestinya baik. Kita lihat dalam isu YaPEIM, yang kaki rembat orang agama, yang tukang ‘back up’ orang agama.
“Saya cari di internet orang agama yang tak ‘back up’, tiada setakat ini. Tak tahulah kalau saya dipanggil orang agama, saya seorang saja kot (tak ‘back up’ isu YaPEIM) walaupun saya tak anggap saya orang agama.
“Semua boleh bercakap tentang Islam. Masjid di Selangor, boleh dikatakan yang paling aktif di Malaysia cuma ustaz-ustaz tertentu kurang sedar hal ini.
“Zaman BN dulu susah Ustaz nak ceramah, siap kena tangkap tapi bila Pakatan Rakyat sudah ambil, ustaz kita boleh ceramah. Boleh dikatakan setiap masjid di Selangor ini ada syarahan-syarahan agama tapi dalam semangat ceramah itu, berapa ramai agamawan yang mementingkan akauntabiliti dan ketelusan?” bidasnya dalam forum mengenai skandal YaPEIM di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH), di ibu negara malam tadi.
Exco Pemuda PKR itu juga menggunakan panggilan “kaki rembat” merujuk kepada penglibatan pengurusan tertinggi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir dalam skandal yayasan itu seperti telah dibongkar oleh NGO Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW).
“Kita sangka Perdana Menteri kaki rembat, rupa-rupanya menteri-menteri pun kaki rembat. Itu hakikat yang berlaku di negara ini. Kalau Umar Aziz dulu ada sebut, manusia ini berdasarkan agama rajanya. Maknanya, jika menteri kaki rembat, atas-atas juga kaki rembat.
“Di Malaysia, orang yang mendedahkan penyelewengan disaman. (Ibarat) rumah kena rompak, pergi ‘report’ (polis). Kita yang kena penjara. Gila Malaysia. Ini hakikat di Malaysia,” sindir pengarang buku ‘Ulama Yang Bukan Pewaris Nabi’ itu.
Sehubungan itu, Ustaz Wan Ji menyeru pentingnya usaha untuk melakukan perubahan bukan sekadar bercakap bagi menjamin keadaan lebih baik pada masa akan datang.
“Sebab itu kita kena fikir bagaimana mahu buat perubahan jadikan negara kita negara yang baik. Kita mahu pastikan negara kita menjadi lebih baik daripada negara lain tapi kalau kita setakat bincang tidak mahu buat perubahan, tidak jadi apa,” tambah bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS itu lagi.