IOI City Mall kini mencari imam surau sepenuh masa, syarat kelayakan ‘bukan biasa-biasa!’

Oleh WAN SITI AMINAH

Iklan kerja kosong yang ditawarkan oleh salah sebuah pusat beli-belah terkemuka di Putrajaya iaitu IOI City Mall telah berjaya mencuri perhatian ramai, baru-baru ini.

Mana tidaknya, pengurusan IOI City Mall bukan sahaja mencari imam bagi memimpin solat fardu lima waktu setiap hari malah turut mengimamkan jemaah yang bersolat Jumaat, terawih dan solat sunat Hari Raya.

Imam yang bakal ditugaskan di ‘Musalla IOI City Mall’ itu turut diberi tanggungjawab untuk menyampaikan khutbah, memberi khidmat nasihat dan mewakili surau dalam aktiviti keagamaan serta majlis keramaian.

Syarat kelayakan yang disenaraikan juga bukanlah ‘biasa-biasa’ di mana pemohon perlu memiliki ijazah dalam Pengajian Islam, Syariah atau bidang berkaitan daripada institusi diiktiraf.

Mereka yang melanjutkan pengajian tinggi di dalam perundangan Islam (Fiqh) lebih diutamakan dan pemohon jawatan tersebut harus memiliki pengalaman selama tiga hingga lima tahun dalam peranan serupa.

Pihak IOI City Mall bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah gaji yang ditawarkan kepada imam surau berkenaan di dalam hebahan iklan menerusi platform pencarian pekerjaan, Jobstreet itu.

Iklan tersebut mulanya menjadi perbincangan selepas seorang pengguna platform X memuat naik tangkap layar memaparkan tawaran kerja kosong tersebut di akaun miliknya.

Berikut kami kongsikan tugas utama dan tanggungjawab imam Musolla IOI City Mall serta syarat kelayakan untuk makluman pemohon yang disenaraikan di dalam iklan tersebut;

  • Menyampaikan khutbah yang relevan, bermaklumat dan memberi inspirasi.
  • Mengawasi program pendidikan agama termasuk kelas al-Quran dan pengajian Islam.
  • Memberi panduan tentang perundangan Islam (Fiqh) dan menjawab pertanyaan tentang agama daripada masyarakat.
  • Menawarkan kaunseling rohani dan emosi kepada masyarakat termasuk perkara peribadi dan agama.
  • Mengendalikan perkhidmatan pengebumian dan memberi sokongan kepada keluarga yang kehilangan.
  • Bekerjasama dengan lembaga atau jawatankuasa surau mengenai perancangan strategik dan pengurusan operasi.
  • Mengawasi pengurusan Musalla dan kemudahan surau lain di IOI City Mall dan memastikannya diselenggara dengan baik.
  • Berkhidmat sebagai wakil surau kepada pihak media dan di majlis-majlis awam.

Syarat-syarat kelayakan pemohon;

  • Memiliki sekurangnya tiga ke lima tahun pengalaman dalam peranan sama dengan kemahiran kepimpinan dan penglibatan komuniti.
  • Pengetahuan mendalam tentang Al-Quran, Hadis, ibadah dan perundangan agama selain memahami isu-isu kontemporari yang dihadapi masyarakat Islam.
  • Kepimpinan yang kuat, komunikasi dan kemahiran interpersonal selain pnguasaan bahasa Arab dan tempatan.
  • Mempunyai integriti dan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat Islam dengan penuh ihsan dan kebijaksanaan.

Difahamkan, pihak pengurusan pusat beli-belah tersebut turut menawarkan kerja kosong untuk jawatan Bilal bagi melaungkan azan serta membantu imam dan jawatankuasa untuk menguruskan surau berkenaan.

Baca juga: Dulu susah nak solat, Lana Nodin dedah suami sekarang pergi kelas iqra, kejut bangun solat subuh