Bekas isteri kepada pengarah sensasi, Syamsul Yusof iaitu Ira Kazar enggan menerima sebarang pinangan daripada mana-mana lelaki untuk kembali bergelar isteri di dalam masa terdekat.
Hal ini kerana pemilik nama sebenar Nur Faghirah Fatini Kazaruddin itu lebih selesa hidup tanpa sebarang ikatan buat masa ini selepas hampir tiga bulan bercerai dengan bekas suaminya.
Wanita berusia 29 tahun itu berkata sedemikian di dalam satu rakaman yang dikongsikan oleh usahawan kosmetik sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman menerusi akaun TikTok miliknya.
“Tak (kahwin), buat masa sekarang saya tidak menerima pinangan. Sebab saya bahagia dengan diri yang sekarang (solo),” kata Ira yang juga bergelar pempengaruh media sosial dalam rakaman tersebut.
Perkara tersebut diakui oleh Ira selepas menerima soalan daripada Aliff Syukri sekiranya wanita itu sudah bersedia untuk menerima pinangan mana-mana lelaki termasuk daripada kalangan individu berpengaruh atau berharta.
Dalam perkongsian yang sama, anak pelakon veteran iaitu Kazar Saisi itu juga mengakui tidak akan mendedahkan identiti insan istimewa yang berjaya menambat hatinya di masa hadapan.
“Kalau ada pun (teman lelaki), saya tidak akan tunjuk,” kata Ira dalam nada berseloroh kepada Aliff Syukri dalam sesi ‘temu bual’ mengenai perkembangan baharu berhubung perhubungan wanita berkenaan.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada 5 September lalu mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafazkan oleh Syamsul terhadap Ira ketika mereka masih bergelar suami isteri.
Hakim Syarie, Mohd Faizal Habib mengesahkan perkara itu selepas Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin selaku plaintif memfailkan lafaz cerai taklik pada 21 Ogos lalu sekali gus jatuh talak satu.
Syamsul dan Ira sebelum ini mengejutkan dunia hiburan selepas membuat pengakuan sudah menikah di Selatan Thailand secara rahsia pada 6 Januari tahun lalu dengan berwalikan Kazar Saisi sendiri.
Sekadar info, Syamsul juga pernah berkahwin dengan pelakon iaitu Puteri Sarah pada 8 Mac 2014 sebelum dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 7, dan Summayah yang kini berusia lima tahun.
Pasangan itu bagaimanapun sah bercerai talak satu selepas lapan tahun berumah tangga pada 14 Jun 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Baca juga: “Aku tengah pantang dengan baby, mak mentua selamba masuk rumah guna kunci pendua, hilang privasi…”