Polis berkata, seorang anggota Islamic State (IS) yang ditahannya di LRT Setiawangsa semalam mengaku merancang serangan berani mati di negara ini, lapor Malaysiakini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata rancangan nekad itu dibuat selepas anggota IS itu menerima arahan dari Syria.
“Suspek mengaku telah merancang untuk melancarkan serangan bunuh diri di Malaysia selepas menerima arahan dari anggota Islamic State warga asing di Syria,” kata Khalid dalam satu kenyataan hari ini.
Khalid mengesahkan suspek yang berusia 28 tahun itu seorang warganegara Malaysia.
Menurutnya, suspek juga bertanggungjawab menggantung bendera IS di beberapa lokasi.
“Suspek merupakan individu yang bertanggungjawab menggantung bendera IS di beberapa lokasi di sekitar Terengganu, Perak, Selangor dan Johor bagi memberi peringatan kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan operasi menangkap ke atas anasir-anasir Islamic State di Malaysia,” katanya.
Awal hari ini, Khalid mendedahkan di Twitter mengenai penahanan suspek tersebut di mana senjata dan dokumen IS turut dirampas.
Dalam perkembangan berkaitan, Khalid berkata, polis turut menahan tiga lagi suspek Malaysia yang terlibat dalam kegiatan IS sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada hari Isnin.
Beliau berkata ketiga-tiga mereka ditahan pada 15 November tahun lalu di Gaziantep, Turki oleh pihak berkuasa Turki semasa dalam perjalanan untuk menyusup masuk ke Syria untuk menyertai IS.
“Kesemua mereka dihantar pulang ke Malaysia pada 11 Januari 2016 dan ditangkap setibanya mereka di KLIA,” katanya.
Khalid berkata, kesemua mereka direkrut oleh Muhammad Wanndy bin Mohamed Jedi @ Abu Hamzah, yang juga warga negara Malaysia yang telah menyertai kumpulan IS di Syria.
“Dia bertanggungjawab dalam merancang penyusupan masuk ketiga-tiga suspek ke Syria,” tambahnya.
Khalid berkata, semua empat suspek yang ditahan berusia 23 tahun hingga 28 tahun.
Dua daripada mereka adalah sepasang suami isteri Perak manakala dua suspek lagi dari Terengganu yang masing-masing bekerja sebagai seorang jurutera dan ejen insurans.