Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengesahkan akan bertanding dalam PRK Port Dickson sebagai calon bebas.
Beliau membuat keputusan itu kerana Umno tidak meletakkan calon pada 13 Oktober ini.
“Saya bertanding kerana kerusi itu telah dikosongkan. Lagipun saya adalah orang Port Dickson.
“Saya ada peluang yang baik untuk menang kerana telah lama berkhidmat di kawasan ini dan dikenali pengundi,” katanya dipetik menerusi Utusan Online hari ini.
Sebelum ini, Mohd Isa yang juga bekas Pengerusi Felda pernah menjadi Adun di Linggi dan Bagan Pinang yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson, selain Ahli Parlimen Jempol.
PRK Parlimen Port Dickson setakat ini menarik minat beberapa pihak lain selain Anwar iaitu dua parti politik, Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), selain calon bebas yang juga personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong untuk mengambil bahagian.
Kerusi Parlimen Port Dickson kosong selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah meletakkan jawatan secara sukarela bagi memberikan laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding, seterusnya menjadi ahli Parlimen jika menang dan diangkat sebagai perdana menteri kelapan.