Isteri asyik merungut beli sup bunjut tak cukup, sekali suami bawa balik sepapan – “Boleh masak tiap hari”

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang suami memegang sepapan sup bunjut ketika berjalan keluar daripada sebuah kedai runcit menuju ke kenderaan miliknya.

Menerusi rakaman berdurasi 19 saat dimuat naik di laman TikTok itu, sang suami membuat pengakuan mencuit hati mengenai tujuannya membeli rempah ratus tersebut di dalam kuantiti yang banyak.

Suami terbabit secara berseloroh memberitahu isterinya bahawa sup bunjut itu dibeli dengan banyak kerana tidak mahu mendengar rungutan daripada wanita berkenaan jika rempah tersebut dibeli dalam kuantiti sedikit.

Haa, ini hari-hari (boleh) makan sup. (Jika) beli dua sahaja (cakap) tak cukup. ‘Sikit sahaja abang, beli dua’. Ini ambil-ambil,” seloroh suami berkenaan sebelum menghulurkan sup bunjut tersebut kepada isterinya.

Gelagat dan wajah sang suami yang sepertinya kelihatan ‘bangga’ ketika menunjukkan sepapan rempah ratus itu sudah tentunya membuatkan isterinya terhibur seperti terakam dalam video tersebut.

Rakaman yang memperlihatkan kelakuan lelaki terbabit kemudian dikongsikan isterinya menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya dengan kapsyen, ‘kalau suruh orang lelaki beli barang’.

Wanita terbabit turut menjawab soalan berhubung harga sepapan sup bunjut tersebut iaitu sebanyak RM27 selepas orang ramai membanjiri ruangan komen perkongsian itu untuk bertanya mengenainya.

Setakat artikel ini ditulis, tinjauan mendapati perkongsian wanita itu berjaya mendapat 1.3 juta tontonan dan 73,900 tanda suka dari pengguna TikTok yang mana rata-ratanya mengakui terhibur dengan gelagat suaminya.

Ramai juga pengguna tampil berkongsikan pengalaman peribadi mengenai sikap suami mereka sendiri yang turut ‘mengingkari arahan’ dengan membeli barangan dapur di dalam kuantiti berlebihan.

“Macam suami aku. Suruh beli telur sepapan. Dibelinya empat papan. Padahal yang makan dekat rumah empat orang sahaja. Itu pun jarang makan telur. Mahu tak kalut habiskan sebab takut busuk,” kata seorang pengguna.

“Garam habis. Suruh suami pergi beli. Tiga bungkus terus dia beli. Nak aku buat kenduri agaknya. Selepas itu semua tiga bungkusan tersebut, lain-lain jenis garam pula.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Terlibat isu tak bayar gaji bekas pekerja, Ac Mizal nafi Suke TV dah ‘bungkus’