Seorang lelaki tampil membuat laporan polis selepas rakaman mendakwa isterinya ‘sakit nak bersalin’ di Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang, Sabtu lalu tular di media sosial.
Hal ini berikutan kapsyen disiarkan dalam video berkenaan telah menimbulkan fitnah ke atas isterinya yang kononnya sudah sarat mengandung sedangkan mereka baru sahaja berkahwin empat bulan lalu.
Menurut lelaki terbabit, pemilik akaun TikTok yang memuat naik rakaman berkenaan boleh sahaja bertanyakan perkara sebenar kepada tuan badan sebaliknya terus membuat kapsyen secara melulu.
Akibatnya, perkongsian tersebut telah membuatkan orang berburuk sangka terhadap status kandungan isterinya sehingga menimbulkan kekecohan di kalangan keluarga pasangan berkenaan.
“Masa kejadian, saya lalu betul-betul di hadapan pemilik akaun TikTok berkenaan. Tetapi dia tidak bertanya apa-apa dan membuat kapsyen melulu tanpa mengetahui perkara sebenar.
“Sedangkan boleh lihat jelas, isteri saya tidak sarat mengandung lagi. Hantaran atau kapsyen dia telah menimbulkan fitnah dan kekeliruan dari pihak saudara mara serta kenalan terdekat.
“Kerana saya baru sahaja berkahwin empat bulan, isteri pula bunting pelamin. Akibat daripada hantaran tersebut, membuatkan orang buruk sangka bahawa kandungan itu anak luar nikah,” katanya.
Penjelasan dibuat oleh suami terbabit menerusi satu hantaran di kumpulan Facebook iaitu Warga Kuantan Official melalui akaun miliknya untuk meluruskan fitnah yang beredar mengenai isterinya.
Lelaki itu turut membuat satu laporan polis susulan perkongsian tersebut tular ekoran pemilik akaun TikTok berkenaan pada mulanya enggan memberi kerjasama untuk memadam video.
“Pada 31 Ogos jam 11.26 pagi semasa berada di dalam kereta di kawasan Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, saya ada terlihat satu hantaran yang dibuat oleh pemilik sebuah akaun dalam aplikasi TikTok.
“Kapsyen (yang dibuat) tidak benar dan menimbulkan fitnah kepada diri saya ekoran dari komen-komen negatif pada hantaran tersebut. Untuk makluman, isteri saya sedang hamil empat bulan.
“Saya telah menghantar pesanan kepada pemilik akaun tersebut untuk memadam hantaran yang dibuat tetapi tiada maklum balas. Tujuan laporan dibuat adalah untuk pihak polis mengambil tindakan terhadap pemilik akaun.” Jelasnya dalam laporan polis.
Susulan laporan polis dibuat, pemilik akaun TikTok terbabit telah memadam hantaran asal bagaimanapun rakaman berkenaan sudah tersebar luas di pelbagai platform media sosial lain.
Terdahulu, pemilik akaun itu memuat naik satu rakaman memaparkan seorang wanita yang sedang kesakitan di bahagian perut ketika sambutan merdeka berlangsung dengan kapsyen, ‘sakit nak bersalin. Semoga dipermudahkan urusannya’.
Sekadar info, Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang itu dilangsungkan di Padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) pada Sabtu lalu (semalam).
Baca juga: Netizen terharu pemuda Palestin buat mural khas sempena kemerdekaan Malaysia