Hati wanita manakah tidak hancur apabila pengorbanan melahirkan anak dipandang remeh oleh suami sendiri kerana bersalin secara pembedahan atau caesarean (czer).
Lebih memburukkan keadaan, sang suami juga tergamak mengugut untuk berkahwin lain ekoran berpendapat badan isterinya sudah ‘rosak’ akibat pembedahan tersebut.
Itulah situasi dialami oleh seorang isteri yang baru sahaja bergelar ibu sebaik keluar daripada bilik pembedahan selepas selepas melahirkan anaknya di sebuah hospital.
Menerusi satu hantaran di laman TikTok, wanita terbabit berkongsi pengalamannya bersalin seorang diri tanpa sokongan suami disisi malah dimarahi oleh lelaki terbabit.
“Keluar dari bilik pembedahan di dalam keadaan bius lagi, minta telefon dahulu dari jururawat. Buka mesej kena maki (dengan suami) sebab buat pembedahan czer secara kecemasan.
“Hari yang sama jugak, saya pujuk dia elok-elok. Hantarlah mesej banyak-banyak hanya untuk dilayan macam itu. Saya juga masuk bilik pembedahan sendiri, semua tanpa kehadiran dia.
“Semua ini sudah berlalu namun masih sakit. Boleh cakap saya dengan keluarga tak beri hak untuk jaga sedangkan dia tiada pun disamping saya. Asyik menghakimi saya sebagai ibu kepada seorang anak,” katanya.

Berdasarkan tangkap layar itu, dapat dilihat bahawa pujuk rayu wanita berkenaan bukan sahaja tidak diendah malah suaminya turut meminta untuk tidak menghubunginya lagi.
Perkongsian tular oleh wanita itu mengundang perhatian orang ramai sehingga berjaya mendapat 1.3 juta tontonan dan 80,400 tanda suka daripada pengguna platform berkenaan.
Rata-rata pengguna menyelar tindakan suami berkenaan yang disifatkan terlalu pentingkan diri sendiri selain gagal menunaikan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan bapa.
Sangat mengejutkan, beberapa wanita juga turut tampil berkongsi pengalaman mereka sendiri apabila ‘dibuang’ oleh suami hanya kerana terpaksa bersalin secara czer.
“Kenapa kalau bersalin czer sahaja, mesti mereka (suami) anggap badan kita rosak. Pernah juga hampir macam ini, tetapi memang terpaksa. Badan lemah sangat rasa. Tetapi kena marah dengan suami sebab tak berusaha langsung,” kata seorang pengguna.
“Aku dahulu merayu dengan jururawat nak telefon suami. Tetapi masa itu sudah tiada masa, memang anak hampir lemas. Selepas itu, sampai hati dia senang-senang cakap macam itu. Bukan kita yang pilih jalan ini.” Kongsi pengguna lain.
Baca juga: Lelaki habiskan setalam nasi kandar berharga RM350 dalam masa 1 jam