Isteri ini hilang hormat apabila suami jatuh miskin, tinggikan suara minta diceraikan segera

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan sepasang suami isteri sedang bertengkar mulut dipercayai tentang masalah kewangan yang telah menjejaskan keharmonian rumah tangga mereka.

Situasi menjadi semakin tegang apabila sang isteri mula meninggikan suaranya ketika itu perbalahan berlaku dan meminta diceraikan dengan segera manakala suaminya pula cuba untuk menenangkan keadaan.

Rakaman tersebut dimuat naik oleh pempengaruh yang dikenali sebagai Ariff Peter menerusi hantaran di akaun TikTok miliknya selepas pasangan itu mendatanginya bagi mendapatkan nasihat.

Sang isteri bagaimanapun seperti enggan memberikan kerjasama dalam mencari jalan penyelesaian sebaliknya bertindak meninggikan suara dan berkali-kali meminta supaya lelaki itu melepaskannya.

Manakala suaminya pula dilihat masih berusaha untuk mengawal emosi dan menenangkan isterinya dengan memberikan penjelasan mengenai masalah kewangan serta komitmen yang perlu ditanggungnya.

“Cepatlah, yang penting saya nak bercerai sekarang. Saya tidak berminat (untuk berbaik) masalahnya sekarang. Jadi cerai sahajalah, tak perlu awak nak tanggung komitmen. Tiga ke enam bulan macam itu makan kena makan pasir?

“Saya nak bercerai masalahnya sekarang,” kata wanita itu dalam perkongsian video yang berdurasi 31 saat tersebut sebelum bertindak menyentap helaian dokumen berada di pegangan Ariff.

Berdasarkan keterangan video dikongsikan Ariff menerusi rakaman itu, situasi sedemikian dipercayai berlaku apabila sang isteri mula hilang hormat kepada suaminya selepas lelaki terbabit jatuh miskin.

Pempengaruh itu juga tertanya-tanya sekiranya lelaki bergelar suami sememangnya tidak dibenarkan untuk hidup susah selain menyifatkan dunia kejam terhadap kaum Adam yang kurang berkemampuan.

“Kaum lelaki dilarang miskin? Dunia ini kejam terhadap lelaki miskin! Ramai isteri akhir zaman hilang hormat dengan suami miskin.” Tulis Ariff dalam keterangan video yang meraih 1.5 juta tontonan dari pengguna TikTok itu.

Sekadar info, Ariff mencuri perhatian ramai sebelum ini selepas didedahkan terpaksa tinggal dalam kereta Proton miliknya ketika mahu melangsaikan hutang kerana tidak mahu terbeban dengan kos menyewa bilik.

Hutang lebih RM1 juta akibat terpedaya dengan pelaburan mata wang digital itu akhirnya berjaya diselesaikan dalam masa dua tahun dan pemilik nama sebenar Ariff Luqman Peter Lisut terbabit kini aktif membantu mereka yang mengalami masalah sama dengannya khususnya kewangan.

Baca juga: Kesian anak tak pernah dilayan baik dengan atuk nenek, hanya sebab mak ayah bukan orang ada harta