Isteri nak cerai sebab nafkah kecil, tak sedar tiap kali bersalin pilih hospital swasta hingga suami tanggung hutang

Oleh KIM SYAZIE

Seorang pengguna TikTok ada memuatnaik satu video tentang seorang suami yang sepertinya hilang arah apabila si isteri secara tiba-tiba menuntut cerai.

Video yang dikongsi pemilik akaun Anas Jamaluddin itu menceritakan bagaimana dia baru-baru ini telah didatangi lelaki berkenaan yang ketika itu kelihatan sangat kusut.

Difahamkan, si isteri telah menuntut cerai dan menghantar surat dari mahkamah atas sebab si suami gagal memberikan nafkah yang cukup kepada isteri.

Namun apa yang mengejutkan, lelaki berkenaan memberitahu bahawa dia sebenarnya terpaksa menanggung hutang terlalu banyak yang dibuat untuk isterinya sehingga tidak mampu memberi nafkah kepada isteri.

“Seorang lelaki datang jumpa saya. Nampak gaya memang tengah kusut betul. Pelik saya tangan dia kuning.

“(Saya bertanya) kenapa tuan, apa boleh saya bantu? (Lelaki itu jawab) Saya sedih ustaz. Isteri saya tuntut cerai.

“Ustaz, saya tak mampu bagi banyak pada dia sebab hutang saya banyak. Semua sebab dia juga.

“Semua anak saya lahir dekat hospital swasta. Isteri saya nak begitu. Saya terpaksa buat pinjaman peribadi yang banyak,” luahnya.

Terkejut dengan apa yang didengarinya, ustaz Anas kemudian bertanya kenapa lelaki itu tidak bertegas dari awal, kerana jika dia berbuat demikian perkara ini boleh dielakkan.

Pandangannya pun terus beralih kepada tangan si suami yang kelihatan kuning, rupa-rupanya si suami ketika itu sedang menggaul ikan dengan kunyit namun terhenti dan hilang selera makan selepas dapat surat dari mahkamah.

“Dah sampai tinggal berapa ratus je gajinya ustaz sebab itu saya selalu terlepas bagi nafkah dekat dia.

“(Saya bertanya) Kejap kenapa dengan tangan tu? (Jawab lelaki itu); Oh tadi saya gaul ikan dengan kunyit. datang orang mahkamah hantar surat ni. terus hilang lapar saya ustaz,” katanya lagi.

Sementara itu meninjau ke ruangan komen, rata-rata meluahkan rasa simpati terhadap masalah yang ditanggung sang suami selain banyak juga nasihat yang dititipkan warganet agar semua pasangan bersederhana apabila meminta sesuatu dengan pasangan.