Isteri pernah jadi tukang cuci, Achey tak akan lupa pengorbanan untuk dia kekal dalam industri

Oleh MAISARAH AISYA

Peminat tak akan nampak kesusahan golongan anak seni untuk terus kekal berada dalam industri namun ahli keluarga mereka pastinya.

Isteri mana sanggup bersusah payah untuk memastikan suami kekal relevan dalam industri namun ada yang memilih untuk berkorban demi kesenangan hidup di kemudian hari.

Berkongsi dalam satu audio siar, pelawak Achey tidak akan membenarkan sesiapa pun untuk memperlekeh isterinya, Nur Hasanah Yahaya lapor Kosmo! Online.

Jelasnya, isterinya itu pernah bekerja sebagai tukang cuci dan menggadaikan cincin kahwin demi kelangsungan hidup mereka.

“Sebab itu bila orang tanya aku ‘manjakan isteri’ apa semua sebab dia dah lalui apa yang kami dah lalui. Susah senang, bergadai semua.

“Kalau anda cakap bagi orang rumah gelang emas apa semua sebab dia cincin kahwin pun dia gadai untuk aku. Dia pernah jadi tukang cuci untuk aku bertahan dalam industri. Faham tak?

“Jadi tolong netizen, kalau anda mengata pasal isteri saya, pakai gelang emas dan sebagainya itu adalah ganjaran atas keyakinan terhadap suami,” kongsinya dalam audio siar tersebut.

Dalam pada itu, Achey berkongsi perihal isterinya yang disahkan tidak boleh mengandung zuriat sendiri selepas kedua-dua tiub fallopian isterinya terpaksa dibuang.

“Isteri saya sebenarnya terpaksa potong tiub fallopian bukan satu tetapi kedua-duanya sebab satu tersumbat dan satu lagi membengkak.

“Dan kalau tak buat secepat mungkin (pembedahan), isteri saya berkemungkinan akan meninggal dunia.

“Jadi, kita buat dan isteri saya juga sudah reda. Masa itu dia minta maaf dekat saya sebab tak dapat bagi zuriat. Tapi saya kata banyak cara lagi,” tambahnya.

Pada masa sama Achey memaklumkan isterinya sempat meminta maaf sebelum menjalani pembedahan.

“Dan hari itu juga kami terpaksa menerima berita itu (buang tiup) untuk selama-lamanya. Tapi isteri saya ini sangat power.

“Dia sempat cakap sebelum pembedahan minta maaf tak dapat beri zuriat, kalau pembedahan dia tak berjaya anggap itu perjuangan dia,” ujarnya.

Meskipun tidak dikurniakan anak sendiri, pasangan tersebut bahagia membesarkan anak angkat perempuan bernama Nur Tiara Zinnirah yang diambil pada tahun 2018.

Baca juga: Murid kelas belakang ada bakat luar biasa dalam lukisan buat ramai kagum