Hati isteri manakah yang tidak hancur berkecai apabila suami disayanginya tergamak mengkhianati perkahwinan dengan berzina bersama pembantu peribadinya sendiri.
Itulah penderitaan yang dialami oleh seorang isteri hingga membuatkan wanita berkenaan nekad untuk memfailkan penceraian di mahkamah dengan menggunakan bukti diperolehinya.
Difahamkan, wanita berkenaan memiliki bukti bergambar yang menyokong dakwaan bahawa suaminya itu telah berzina dengan tidur bersama pembantu peribadi dalam keadaan tidak berbaju.
Namun alangkah terkejutnya wanita itu apabila dimaklum oleh pihak peguam yang dihubunginya bahawa gambar tersebut tidak boleh digunakan sebagai bukti suaminya telah melakukan zina.
Sebaliknya sang isteri perlulah membawa seramai empat orang saksi lelaki di mahkamah yang menyaksikan sendiri suaminya berzina sebagai bukti lelaki terbabit melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Kejadian tersebut dikongsikan oleh peguam terbabit yang dikenali sebagai Hanan Jasmin menerusi satu hantaran dimuat naik di platform TikTok tanpa mendedahkan identiti sebenar anak guamnya.
“Itu bukan bahan bukti yang menunjukkan suami puan telah berzina. Untuk menuduh suami berzina, puan kena bawakan empat orang saksi lelaki yang melihat perlakuan zina tersebut (ke mahkamah).
“Sekiranya puan tidak membawa saksi untuk menuduh suami berzina, puan boleh dikenakan hukuman Qazaf,” tulis peguam itu berkongsikan jawapan yang diberikan kepada anak guamnya.
Menurut peguam itu, perkara tersebut tidaklah bermakna anak guamnya tidak boleh bercerai sebaliknya dibenarkan untuk membuat tuntutan fasakh di mahkamah dengan menggunakan bukti gambar suaminya berzina.
Tuntutan penceraian secara fasakh ini memberi makna pembatalan atau pembubaran perkahwinan di antara pasangan suami dan isteri melalui perintah Mahkamah di atas sebab-sebab tertentu.
“Nasihat saya puan boleh buat permohonan fasakh di atas alasan si suami berkawan dengan perempuan jahat atau hidup berperangai keji mengikut syarak. Bawalah gambar suami dengan perempuan tersebut sebagai bukti dalam permohonan fasakh.” Jelasnya.
Sekadar maklumkan, pasangan yang telah berpisah melalui cerai fasakh tidak boleh kembali atau rujuk kepada suaminya melainkan jika didahului dengan akad nikah yang baharu.
Manakala qazaf pula bermakna menuduh seseorang melakukan zina, liwat atau menafikan nasab yang mana haram hukumnya ke atas seorang Muslim menuduh saudara seislam dengan tuduhan melakukan perbuatan keji.
Baca juga: “Aku tengah pantang dengan baby, mak mentua selamba masuk rumah guna kunci pendua, hilang privasi…”