Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong menyelar sikap Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin kerana mempertahankan rancangan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berhubung isu 1.5 juta pekerja Bangladesh, dengan hujah bahawa belia tempatan tidak mahu melakukan pekerjaan yang dianggap kotor, berbahaya dan sukar.
Liew berkata, apa yang TPM katakan megenai pekerja Bangladesh akan disalurkan ke dalam sektor-sektor tertentu seperti perladangan, pembinaan dan perkhidmatan dimana tiada banyak permintaan oleh belia tempatan.”
Khairy di dalam twitternya menyatakan bahawa “menaikkan gaji pekerja dalam bidang pembinaan untuk menggalakkan orang tempatan melibatkan diri dalam sektor pekerjaan itu boleh membawa kepada peningkatan harga rumah.”
Beliau memetik apa yang disebut oleh Khairy sebagai :”The wages of construction workers are said to be high in developed countries, so the locals there are willing to do it. House prices are also high, due to the high cost of labour, a spike in construction labour costs without increase in productivity will lead to higher cost of living.”
Menurut Pengarah Pendidikan Politik DAP ini lagi, pemikiran sebegini adalah amat cetek sekali.
“Saya akui bahawa penetapan kadar gaji minima yang lebih tinggi untuk menarik minat pekerja tempatan bukanlah satu-satunya solusi.
“Cabaran dasar yang kita hadapi adalah bagaimana kita dapat meningkatkan kemahiran, produkitiviti dan tahap gaji secara sekaligus,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam bidang pembinaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ujarnya, telah diwujudkan pada tahun 1994 untuk menggalakkan penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Liew menjelaskan, apabila rumah dibina menggunakan konkrit pratuang, seseorang tidak perlu lagi untuk menyusun bata demi bata. Separuh daripada kerja-kerja pembinaan akan berlaku di kilang-kilang dan kemudiannya diangkut ke tapak binaan. Kedua-duanya memerlukan kemahiran yang lebih tinggi berbanding sekadar buruh tidak mahir.
Jika semua rumah dihasilkan melalui cara perindustrian, permintaan terhadap pekerja asing tidak mahir akan menurun secara mendadak. Malah, permintaan terhadap tenaga buruh secara keseluruhannya juga akan berkurangan manakala produktiviti akan naik mendadak – pelbagai kitaran kemahiran, produktiviti dan gaji yang lebih tinggi boleh dicapai secara sekaligus.
“Untuk maklumat Khairy, Flat Pekeliling (kini telah dirobohkan) di Kuala Lumpur dan rumah pangsa Rifle Range telah dibina menggunakan sistem perindustrian pada 1960-an.
“Mengapa CIDB gagal? Jawapannya ialah kerana terdapat banyak bekalan pekerja asing tidak mahir. Mengapa begitu ramai pekerja asing tidak mahir? Kerana bagi setiap pekerja asing tidak mahir yang memasuki Malaysia, kroni mendapat ‘wang besar’ daripada urusan permit.
“Begitu juga peranan kerajaan dalam sektor perladangan dan pertanian. Ia bukan sama sekali bertujuan untuk membawa masuk pekerja asing tidak mahir secara besar-besaran sebaliknya untuk meningkatkan penyelidikan dan pembangunan kemahiran bagi membantu industri mengembangkan automasi dan mengurangkan pergantungan kepada buruh.
“Kita sudah cukup masak dengan tahap intelektual Ahmad Zahid setiap kali respon beliau dalam banyak isu. Namun untuk melihat Khairy mengikuti cara berfikir yang sama seperti Ahmad Zahid, adalah amat malang sekali.” ujarnya yang harap Khairy boleh mengutarakan hujah yang lebih bernas.