Dakwaan kurangnya bukti kemusnahan kepada alam sekitar dan manusia tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk tidak atau menangguhkan tindakan yang sewajarnya, kata saintis Profesor Dr Jamal Hisham Hashim.
Beliau menegaskan hal tersebut ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Kesan Kesihatan Umum daripada Aktiviti Perlombongan Bauksit di Kuantan, di Universiti Malaya (UM) hari ini.
“Adakah nak tunggu muncul kes kanser dan penyakit berbahaya lain, baru tindakan akan dibuat?” bidas pensyarah dari United Nations University (UNU) itu di hadapan kira-kira 100 peserta Seminar Kesan Perlombongan Bauksit di Pahang.
Menurut Dr Jamal, bacaan kehadiran logam berat dan berbahaya yang tinggi telah dikenal pasti di tiga lokasi di Kuantan iaitu di Beserah, Bukit Goh dan Pelabuhan Kuantan pada 26 dan 27 Disember tahun lalu.
“Paras bacaan yang tinggi ini menjejaskan rantaian makanan hidupan air. Malangnya, ketika kami mendedahkan adanya kandungan tinggi logam arsenik pada ikan di sungai sekitar Kuantan kepada media pada Ogos tahun lalu, ada pihak menganggap kami seolah-olah mahu menakutkan orang ramai.
“Kajian kami juga mendapati 19 orang yang terlibat dalam sampel kami menghidap penyakit berkaitan sistem pernafasan yang menyerang fungsi peparu. Tidak membuat kesimpulan mengaitkan itu sama ada kesan debu bauksit tetapi keadaan tersebut satu yang tidak normal.
“Diam dan terus diam (tiada tindakan) sehinggalah bila keadaan menjadi teruk, visual kawasan Kuantan bertukar menjadi merah tersebar pada Disember lalu, baru ada respon daripada pihak berwajib. Ya, selepas lima bulan kami dedahkan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Dr Jamal mengingatkan perlunya pemusatan kawasan pengumpulan bauksit dikuatkuasakan antaranya tidak berdekatan dengan sistem sungai dan bukan di jajaran jalan raya yang digunakan orang ramai bagi mengelakkan masalah trafik termasuk kemalangan.
Menurutnya, pemantauan corak kelahiran penduduk di Felda Bukit Goh melalui Klinik Kesihatan Bukit Goh perlu dilakukan dan murid sekolah di kawasan berkenaan dipastikan supaya tidak terdedah kepada debu bauksit.
“Kita tidak boleh tinggalkan begitu saja (tapak lombong bauksit). Perlu lakukan pemulihan ke atas 1,200 hektar tanah berkenaan,” tambahnya lagi.