Isu DNB jika tidak dibahas segera, bakal jadi satu lagi episod seperti 1MDB

Oleh KIM SYAZIE

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa skandal terbaru membabitkan isu Digital Nasional Berhad (DNB) perlu dibincangkan segera ekoran pelantikan DNB sebagai pemborong tunggal 5G didakwa dilakukan tanpa adanya ketelusan.

Beliau berkata, jika isu tersebut tidak dibahaskan, ia bakal menjadi satu lagi episod seperti skandal 1MDB.

Kenyataan itu dibuat selepas pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) GEGAR menyerahkan memorandum kepada Anwar yang mendesak supaya penubuhan DNB di bawah kementerian kewangan dikaji semula oleh Parlimen kerana syarikat tersebut tidak mempunyai sebarang aset dan pengalaman di dalam industri telekomunikasi.

“Pagi tadi menerima memorandum daripada pertubuhan GEGAR dan gabungan NGO lain yang mendesak agar Ahli-ahli Parlimen membincangkan skandal terbaru terkait Digital Nasional Berhad.

“Saya tegaskan isu ini amat mustahak dan perlu penjelasan segera. Jika tidak, ia bakal menjadi satu lagi episod seperti 1MDB.

“Atas prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban, kerajaan dan Parlimen mesti beri keutamaan segera,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.