Isu doktor kontrak pratayang krisis kesihatan, dakwa Kadir Jasin

Oleh BORHAN AHMAD

Para doktor kontrak di negara ini dinasihatkan agar jangan berhenti menjadi doktor tetapi berhijrahlah ke negara yang menghargai mereka.

Saranan ini dibuat oleh tokoh wartawan Datuk A Kadir Jasin menerusi Facebook beliau berikutan masalah yang dihadapi oleh para doktor kontrak di negara ini.

Bagi bekas Penasihat Media Perdana Menteri itu, “Isu doktor kontrak adalah pratayang kepada krisis kesihatan dan perubatan yang lebih buruk yang bakal melanda Malaysia.”

Kepada satu komentar yang dibuat oleh rakan beliau, Esah Ismail dalam Facebook itu, Kadir meminta para doktor ini jangan berhenti menjadi doktor.

“Jangan berhenti. Berhijrah ke negara yang menghargai doktor,” kata Kadir.

Bagi beliau, doktor kontrak ini mempunyai dua pilihan sahaja sekarang dengan apa yang berlaku.

“Doktor kontrak sama ada berhenti jadi doktor atau kena berhijrah ke negara maju,” kata Kadir.

Ramai doktor yang bertugas di negara ini sekarang dilantik secara kontrak sahaja sedangkan tugas mereka sangat teruk terutama ketika berdepan dengan pandemik Covid-19.

Baru-baru ini mereka melancarkan kempen memakai baju hitam atau memuatnaik status bendera hitam di media sosial mereka.

Kempen ‘code Black’ dan ‘Black Monday’ yang dianjurkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) adalah bagi menzahirkan solidariti kepada doktor kontrak.

Menurut seorang doktor pakar dari Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, adalah perlu difahami bahawa MMA merupakan Persatuan Perubatan terbesar dalam negara ini.

Sejajar dengan itu beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang mengingatkan, jika sebahagian sahaja dari doktor kontrak ini melepaskan jawatan serta merta, adalah diyakini sistem perubatan dan kesihatan dalam negara boleh runtuh atau ‘collapse’ dengan serta merta juga.

“Mereka sebetulnya hanyalah menuntut sedikit keadilan bagi doktor kontrak jika dibandingkan dengan doktor tetap. Dan mereka pula hanyalah menyatakan kebenaran situasi dan kebajikan doktor-doktor kontrak.

“Adalah diharapkan masalah yang dibangkitkan oleh para doktor kontrak tesebut dapat dinilai dan dipertimbangkan setelah Kabinet memberi maklum balas mengenai kempen yang direncanakan,” ujar beliau.