Isu hijab dan arak: Kerajaan perlu buat keputusan terhadap MAB

Oleh MALAYSIADATELINE

Presiden NUFAM Ismail Nasarudin Hanya kerajaan sahaja yang boleh membuat keputusan terhadap isu pemakaian hijab dan melarang anak-anak kapal bukan Islam daripada menyediakan minuman beralkohol kepada para penumpang Malaysia Airlines Berhad (MAB).

Kesatuan Anak-Anak Kapal Kebangsaan (NUFAM) berpendapat isu itu telah lama diperjuangkan olehnya namun jawapan yang diterima mengecewakan.

Presidennya, Ismail Nasarudin tidak menolak pendirian MAB itu kerana syarikat penerbangan kebangsaan itu mempunyai tanda dagangan penerbangan antarabangsa yang menawarkan perkhidmatan kepada pelbagai penumpang bukan Islam di seluruh dunia.

“Isu ini telah dibincangkan banyak kali kerana ia dibangkitkan oleh anak-anak kapal. Namun jawapan yang diterima ‘sukar untuk berbuat demikian’,” katanya sebagaimana dipetik dari portal media.

Beliau berkata demikian sebagai memberi maklum balas terhadap kenyataan Mufti Perlis, Dr. Mohd Azri Zainul Abidin yang berhasrat untuk membawa isu itu kepada kerajaan.

Mohd Asri mendakwa seorang pramugari Malaysia Airlines Bhd. (MAB) mengadu dipaksa hidang arak dan tidak dibenar memakai tudung sewaktu bertugas.

Pramugari terbabit datang menangis di hadapannya sewaktu menceritakan dilema yang dihadapinya semata-mata demi menyara kehidupan anak-anak pekerja tersebut.

“Saya berasa sangat simpati dan tersentuh. Lebih sedih lagi memikirkan MAB pula merupakan sebuah syarikat penerbangan milik negara kita yang majoriti penduduknya adalah Muslim.

“Sesetengah orang Melayu jika diberitahu ada syarikat tertentu yang halang wanita Muslimah daripada memakai tudung ataupun memaksa mereka menghidangkan arak, tentu akan ‘mengamuk’ sakan.

“Segala dalil dan semangat akan dihamburkan. Malangnya kita lupa syarikat penerbangan negara yang merupakan imej dan identiti Malaysia tidak benar pramugarinya bertudung dan dipaksa menghidangkan arak,” katanya Mohd Asri.

Tambah Ismail lagi, Kementerian Pengangkutan pernah mengadakan perbincangan mengenai perkara ini dengan pegawai-pegawai kesatuan dan kerajaan telah membuat keputusan untuk meletakkan pendirian mengenai isu tersebut.

“Isu ini dibangkitkan lagi oleh sesetengah pihak dan telah dibincangkan di Parlimen tetapi tidak ada apa-apa yang berlaku,”tambahnya.

Secara sinikal, Ismail berkata, meskipun beberapa pihak percaya kerajaan sepatutnya menguatkuasakan peraturan tetapi ada pihak lain yang melihatnya dengan cara berbeza.

Tegas beliau, kerajaan sepatutnya melihat isu ini dan membuat sesuatu dalam menangani masalah ini. Operasi Rayani Airlines yang patuh Syariah adalah satu langkah betul dan tepat dan langkah yang diambil oleh syarikat penerbangan itu patut membuka mata semua pihak.