Masih ada yang sanggup mencuci wang hasil perniagaan haram dengan menjual produk jenama sendiri untuk menutup kegiatan terkutuk mereka.
Tular sebelum ini isu mengenai pengasas produk dan pempengaruh di Kelantan didakwa terlibat dengan kegiatan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat memaklumkan modus operandi yang digunakan adalah sama iaitu menjalankan perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah.
Namun ramai tak sedar istilah cuci duit itu tidak wujud, malah hasil diperoleh daripada sumber haram akan tetap menjadi haram meskipun terselindung di sebalik perniagaan lain.
Tampil menjawab persoalan, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, sumber haram jika diberi sedekah sekali pun tidak akan diterima oleh Allah SWT lapor Harian Metro.
“Sedekah daripada sumber yang halal akan diterima oleh Allah SWT. Justeru, sebagai peniaga perlu elak daripada menjalankan perniagaan daripada sumber haram.
“Begitu juga sebagai pengguna, dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan satu-satu iklan atau promosi termasuk kononnya (produk) menggunakan kaedah Islam.
“Sebagai pengguna kita kena tabayyun atau selidik dengan cermat. Ia perlu penyelidikan dan penyiasatan terlebih dahulu sebelum kita membeli sesuatu produk,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Tegasnya, masyarakat perlu meneliti produk sebelum membelinya dan jangan cepat terpengaruh untuk beli barangan yang tidak diketahui usulnya.
“Kita jangan terpengaruh dengan indah sahaja kerana benda itu tidak benar dan tidak baik.
“Sebagai masyarakat, kita jangan mudah terpengaruh dengan tayangan yang cuba memperlihatkan atau berselindung dengan kebaikan, tetapi sebenarnya ada keburukan,” katanya.
Baca juga: Bank Negara bayar dividen lebih besar bukti nyata ekonomi Malaysia pesat berkembang