Isu ‘influencer’, usahawan kosmetik terlibat dadah, polis Kelantan beri amaran, akan dedah bila cukup bukti

Oleh MALAYSIADATELINE

Jika dilihat usahawan kosmetik tempatan atau pempengaruh tidak mempunyai perniagaan yang mengaut untung jutaan ringgit.

Namun kehidupan mereka terlihat seperti orang kaya apabila memiliki rumah dan kenderaan mewah di usia yang masih muda.

Baru-baru ini media melaporkan bahawa Polis Kelantan ada menerima maklumat mengenai pempengaruh dan pengasas kosmetik tempatan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti berkaitan dadah.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, bagaimanapun berkata pihaknya tidak dapat mengulas lanjut memandangkan siasatan masih dijalankan lapor Harian Metro.

Mohd Yusoff menegaskan pendedahan hanya akan dibuat selepas kes disahkan dan bukti juga mencukupi.

Sebaliknya, beliau menegaskan sebarang pendedahan hanya akan dibuat selepas kes ini disahkan dan bukti mencukupi dikumpulkan.

“Dalam video saya yang lalu di akaun TikTok saya, saya sudah memberi amaran awal kepada golongan ini supaya tidak terbabit dalam aktiviti berkaitan dadah, kerana pihak polis sedang memantau mereka dengan rapat.

“Saya juga menyatakan polis Kelantan tidak akan berkompromi dengan mereka yang terbabit dalam aktiviti sedemikian.

“Ini peringatan kepada mereka yang mungkin terbabit, kerana kami sudah menerima maklumat yang menunjukkan ada kaitan (pempengaruh dan pengasas kosmetik dengan aktiviti berkaitan dadah),” katanya.

Jelas Mohd Yusoff, maklumat adalah berdasarkan beberapa tangkapan dilakukan sebelum ini dan mendapati modus operandi adalah sama.

Kebanyakan dilihat berselindung di sebalik perniagaan untuk menyembunyikan kegiatan jenayah.

Meskipun begitu, Mohd Yusoff menafikan bahawa semua pempengaruh dan usahawan kosmetik tempatan di Kelantan terlibat dalam aktiviti dadah.

“Kepada mereka yang terlibat, saya ingin beri amaran tunggu sahaja tindakan kami,” katanya.

Baca juga: Dari remaja gigih sertai peraduan, lelaki bersyukur dapat merasa banyak hadiah mewah termasuk duit RM28k