Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyatakan DAP berhak menyaman sesiapa sahaja yang mereka mahu.
Namun begitu, beliau enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa DAP akan menyaman seorang ahli politik yang mendakwa parti itu ditawarkan RM1.2 bilion sebagai pertukaran dengan sebuah pangkalan tentera laut Israel di Port Dickson.
“Saya tiada komen tambahan. DAP ada hak untuk saman sesiapa sahaja,” katanya ringkas sebagaimana disiarkan Sinar Online hari ini.
Jumaat lalu, Penasihat DAP Lim Kit Siang dalam ucapannya di majlis makan malam Amanah Kelantan, berkata DAP akan menyaman seorang ahli politik yang mendakwa parti itu ditawarkan RM1.2 bilion sebagai pertukaran dengan sebuah pangkalan tentera laut Israel di Port Dickson.
Beliau tidak menamakan “pemimpin politik kanan” berkenaan tetapi berkata individu itu akan disaman kerana memfitnah.
Katanya, individu tersebut perlu membayar harga tinggi kerana dakwaan itu tidak berasas dan melulu.
Sebelum itu dalam laporan media, Mohd Zuhdi meminta supaya DAP menjawab dakwaan bekas Pegawai Khas Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohamed Razali Abd Rahman mengenai hubungan parti itu dengan Israel.
Kata Mohd Zuhdi, tiga dakwaan tersebut adalah DAP mendapat latihan strategik politik, pemimpin DAP dikatakan menemui wakil kedutaan Israel di Singapura dan DAP ditawarkan dana politik oleh Israel.