Isu Kampung Baru: Shahidan menjengkelkan, sengaja lepas tangan

Oleh KIM SYAZIE

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dikritik tidak bertanggungjawab dan menjengkelkan apabila mengeluarkan kenyataan di Dewan Rakyat agar pemilik tanah di Kampung Bharu berurusan sendiri dengan pemaju ekoran keputusan kerajaan tidak mahu masuk campur.

Naib Pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan Ahmad Zamri Asaad Khuzaimi berkata, kenyataan tersebut secara langsung memberikan mesej bahawa kerajaan yang kononnya mewakili “Keluarga Malaysia” itu, bersikap lepas tangan dalam perkara penting yang melibatkan kebajikan dan urusan hartanah milik penuh orang Melayu.

Beliau turut mempersoalkan di mana fungsi dan peranan Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PPKB) yang ditubuhkan dan diberikan dana yang besar setiap tahun.

“Seperti yang dinyatakan di bawah Seksyen 14 Akta PPKB 2011 (Akta 733), fungsi utama perbadanan itu ialah untuk mengurus, menyelaras dan membantu para pewaris dan pemilik tanah dalam segala urusan yang melibatkan pembangunan Kampung Bharu.

“Jika kerajaan mengambil sikap mudah membiarkan segalanya diuruskan pemilik tanah dan pemaju, adalah lebih baik PPKB ini ditutup.

“Mansuhkan sahaja kerana kewujudannya hanya membazir duit rakyat sedangkan ia tidak langsung berfungsi seperti mana objektif utama penubuhannya di bawah Akta 733,” tegasnya dalam satu kenyataan pagi ini.

Ahmad Zamri juga mempersoalkan peranan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun yang sehingga hari ini masih diam membisu dan gagal memberikan apa-apa solusi tentang permasalahan pemilik serta pewaris tanah Kampung Bharu.

Sementara itu beliau berkata, berbeza dengan konsep pembangunan yang dicadangkan Pakatan Harapan dengan harga RM1000 sekaki persegi, rakyat melihat bahawa kerajaan hari ini masih gagal untuk menawarkan satu bentuk perancangan ataupun mekanisme pembangunan yang komprehensif dan terbaik di Kampung Bharu.

“Akhirnya Menteri dengan mudah lepas tangan dan tidak langsung menjaga kebajikan serta kepentingan penduduk dengan menyerahkan segalanya kepada pemilik untuk berurusan sendiri dengan pemaju di samping ugutan untuk menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Sikap ini amatlah dikesali dan AMANAH percaya rakyat akan mengajar kerajaan yang tidak bertanggungjawab ini dalam PRU15 yang akan datang,” ujarnya.