Isu kerakyatan Rohana: JPN jangan terlalu banyak birokrasi

Oleh KIM SYAZIE

Isu seorang wanita yang tidak mempunyai kerakyatan seperti yang dihadapi oleh Rohana Abdullah, 22 tahun seperti mana yang tular baru-baru ini bukan satu kes yang baru.

Malah amat menyedihkan apabila ramai lagi remaja yang mepunyai masalah kerakyatan kerana berhadapan masalah seperti ibu bapa yang tidak dapat dikenal pasti asal mereka, dan kewarganegaraan ibu bapa yang tidak diketahui.

Menurut Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang, A. Kumaresan, sebagai koordinator Biro Kewarganegaraan, PKR banyak kes yang telah beliau hadapi.

“Tidak dapat dinafikan terdapat antara mereka yang menghadapi kesukaran untuk mendaftar di sekolah ekoran masalah membabitkan kewarganegaraan.

“Status tanpa kerakyatan ini bukan sahaja menyukarkan individu tersebut, tetapi turut membabitkan ibu bapa dan penjaga angkat mereka yang terpaksa berulang alik beberapa tahun ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi memohon mendapatkan status kewarganegaraan.

“Sepanjang pengalaman saya, kes-kes sebegini selalunya dikategorikan sebagai Perkara 15A di mana menteri dalam negeri mempunyai kuasa penuh untuk meluluskan permohonan sedemikian,” katanya.

Kata Kumaresan lagi, kebanyakan kes seumpama ini selalunya ditolak kerana pemohon tidak dapat mengemukakan beberapa dokumen yang dikehendaki oleh pihak JPN serta juga terlalu banyak birokrasi yang menyukarkan keadaan.

Sehubungan itu tegas beliau, perdana menteri diharap dapat memberi komitmen yang tinggi dan serius bagi membantu kes-kes sedemikian supaya mereka dapat ditawarkan bantuan bagi mendapatkan kerakyatan.