Isu monopoli: Adakah kerajaan bakal kenakan tindakan pada Touch N Go?

Oleh KIM SYAZIE

Kerajaan Perpaduan nampaknya sudah mula menggerakkan usaha untuk memecahkan monopoli syarikat pembayaran elektronik, Touch N Go (TNG).

Mewujudkan persaingan sihat, sistem pembayaran terbuka dengan menggunakan kad debit atau kad kredit dilihat mampu meringankan beban rakyat.

Namun, timbul tanda tanya sama ada kerajaan bakal mengenakan tindakan kepada syarikat yang telah memonopoli selama dua dekad itu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub tampil menjawab persoalan tersebut.

Menurutnya, kerajaan tidak akan berlaku zalim dengan mengambil tindakan sebaliknya syarikat tersebut boleh meneruskan operasi mereka.

“Perkara ini perlu jelas, bahawa kita tidak ambil tindakan terhadap Touch N Go, mereka boleh terus beroperasi.

“Kerajaan tidak zalim menghentikan terus operasi mereka,” kata Salahuddin yang turut berkongsi rancangan kerajaan bagi melancarkan sistem baru itu.

Jelasnya, tiga kementerian bakal berganding bahu untuk meluaskan sistem pembayaran terbuka kepada Lebuhraya Utara-Selatan (Plus).

Kementerian tersebut ialah KPDN, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Kementerian Pengangkutan (MOT).

“Libat urus ini berterusan, terutamanya dengan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) supaya semua lebuh raya menggunakan sistem terbuka.” Ulasnya.

Kata Salahuddin, ada pemain industri yang bersedia untuk menawarkan servis bagi membenarkan rakyat memilih jenis pembayaran di lebuh raya nanti.

Baca juga: Dah lama hidup baru tahu cara ular minum air, ingatkan pakai lidah