Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendesak kerajaan supaya mengambil tindakan tegas terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy yang dianggap sebagai pengkhianat negara atas cubaan mengaibkan dan mencemarkan nama baik negara.
Beliau yang merangkap Penyelaras Parlimen Jasin berkata, Waytha Moorthy sudah berbohong dan membuat kenyataan palsu untuk mempengaruhi negara luar membenci Malaysia.
Sekiranya kenyataan dan suara dalam video berdurasi 2 minit 39 saat yang tular, ujarnya, adalah bekas pemimpin pertubuhan Hindraf itu, maka tindakan tersebut adalah secara sengaja mengkhianati negara.
“Bagaimana seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri boleh mengaibkan nama negara ke seluruh dunia dengan membuat kenyataan palsu yang berupa hasutan itu.
“Ini adalah pengkhianatan yang cukup dahsyat kepada bangsa dan negara! Waytha Moorthy harus ditangkap serta didakwa mengikut SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012).
“Penyangak ini bersifat perkauman tanpa asas, ini akan membinasakan seluruh bangsa dan negara kita,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Kelmarin video lama Waytha Moorthy tular di media sosial dengan kandungan memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.
Moorthy bercakap di Belanda ketika itu mendakwa kononnya sebanyak 10,000 kuil Hindu di Malaysia dimusnahkan manakala orang India dipaksa memeluk Islam jika mahu mendapat pekerjaan dalam kerajaan dan memperoleh biasiswa.
Tambah Khairuddin lagi, kerajaan harus tidak berkompromi mengenai isu tersebut memandangkan Moorthy seorang individu berpengaruh.
“Negara luar berkemungkinan percaya pada kenyataan fitnah itu kerana beliau adalah sebahagian daripada anggota Kabinet.
“Kerajaan Malaysia tidak pernah menzalimi bangsa lain di negara kita. Seluruh rakyat diajar untuk menghormati hak bangsa lain.
“Amalan agama, hak sebagai rakyat, demokrasi pendidikan, peluang pekerjaan, peluang perniagaan dan amalan berpolitik dibenarkan secara terbuka di tanah air kita,” kata Khairuddin lagi.