Kerajaan Negeri Sarawak digesa untuk memberi hak sama rata kepada masyarakat Bumiputera negeri ini tanpa mengira bangsa dan etnik dalam meluluskan permohonan menuntut hak ke atas tanah masing-masing.
Menurut Ahli majlis Pimpinan Wanita PKR Pusat, Zulhaidah Subuh, kes berkaitan melibatkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) sudah begitu lama berlarutan di Sarawak dengan kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) belum mampu menyelesaikannya sehingga kini.
Katanya, bayangkan sudah 56 tahun berkuasa namun kerajaan negeri masih dibelenggu dengan isu yang sama berkaitan pemilikan tanah NCR yang melibatkan kepentingan rakyat di Sarawak.
“Jika kerajaan benar-benar mempertahankan tanah hak NCR dan menitik berat kepentingan rakyat, maka isu berkaitan tanah tidak akan berlarutan sehingga kini.
“Justeru saya mendesak Menteri yang bertanggung jawab memberi hak sama rata kepada masyarakat Bumiputera di Sarawak tanpa mengira etnik dan bangsa.
“Dan sekiranya rakyat memiliki dokumentasi yang sudah lengkap dan memenuhi kriteria yang ditetapkan, kerajaan sepatutnya sudah memberikan hak itu kepada mereka,” katanya.
Zulhaidah yang juga merupakan Timbalan Ketua Wanita PKR Sarawak berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Tengah Ali Hasan berkaitan “Native Territorial Domain (NTD) yang dipinda bertujuan memastikan semua tanah yang mempunyai hak tanah adat Bumiputera dan tanah-tanah yang terlibat boleh diiktiraf kerajaan negeri.
“Usaha sebegini adalah satu tindakan wajar dan hak masyarakat Bumiputera haruslah dihormati.
“Malah, tindakan ini bukan sahaja ditumpukan kepada kawasan terpilih tetapi harus lebih serius dalam menangani permasalahan berkaitan tanah NCR di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri.
“Ini kerana dari Sematan hingga ke Limbang rata-rata masyarakat Bumiputera menghadapi masalah hak tanah adat yang masih belum ada penyelesaian lagi,” kata beliau lagi.