Isytihar harta MB,Exco: DAP mahu Khaled ikut jejak negeri PH

Oleh MALAYSIADATELINE

Sheikh Omar AliMenteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin dan barisan exconya digesa melakukan pengiystiharan harta sebagaimana yang pernah disarankan Pakatan Harapan Johor.

Gesaan itu sekali lagi diulangi Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali yang berkata, jika Pakatan Harapan di Pulau Pinang dan Selangor boleh lakukan, ia turut boleh dilaksanakan di Johor.

“Sekiranya Khaled benar-benar ikhlas hendak memastikan nilai transperensi diamalkan dalam urustadbir Johor, tidak ada sebab untuk beliau tidak menyahut seruan Pakatan Harapan ini.

“Saya juga beranggapan, jika Khaled sekadar berani untuk membentangkan kad laporan prestasi kerajaan negeri untuk tatapan rakyat, ia sedikit sebanyak tidak jauh beza dari apa yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak diperingkat Kerajaan Pusat,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

Beliau mengulas mengenai pengumuman Khaled pada Selasa, berhubung kesediaan Kerajaan Negeri untuk membentangkan kad laporan bagi membolehkan rakyat menyemak dan menilai prestasi kemampuan Kerajaan pimpinan beliau dalam mengotakan janji dalam manifesto Pilihan Raya ke-13 yang lalu.

Bagaimanapun Sheikh Omar memuji langkah kerajaan negeri itu, tetapi ujarnya, rakyat Johor juga berhak mengetahui kedudukan sebenar ekonomi dan pembangunan negeri. Lebih-Lebih lagi selepas terbongkarnya skandal perumahan dan hartanah membabitkan bekas exco Datuk Datuk Abdul Latif Bandi baru-baru ini.

“Tiada sebab untuk Khaled berdalih dari melaksanakan dasar pengisytiharan harta.

“Kegagalan Khaled menyahut seruan ini membuktikan bahawa tiada bezanya ‘Team Johor’ dengan ‘Team Najib’ yang telah menjerumuskan ekonomi negara ke lembah kehancuran dan memangsakan rakyat.

“Najib mengambil pendekatan menceritakan ‘yang manis-manis’ kepada rakyat. Namun hakikatnya, penyelewengan yang berlingkar dikalangan beliau dan barisan kepimpinannya ternyata cukup kronik dan telah memberi impak negatif keatas ekonomi rakyat.

“Najib bersikap escapism untuk berhadapan dengan rakyat dan menyatakan kedudukan sebenar pelbagai skandal yang dipalitkan keatas beliau dan kepimpinannya..

“Apakah Khaled ingin menjadi serupa Najib? Apakah Najib dan Khaled ibarat ‘bapa borek anak rintik’? soalnya.