Sebuah stesyen televisyen di Korea Selatan bertindak menyunting perkataan ‘wanita’ dari ucapan Tan Sri Michelle Yeoh baru-baru ini.
Menjadi wanita Asia pertama memenangi anugerah berprestij, Oscar, Michelle memberikan ucapan yang menginspirasi khususnya buat kaum hawa.
Kejayaan Michelle itu menjadi kebanggaan di seluruh Asia di mana berita tersebut turut disiarkan oleh agensi media Korea Selatan, SBS News.
Namun begitu, agensi tersebut menyunting perkataan ‘wanita’ dari ucapan Michelle dan menggantikan dengan perkataan ‘anda semua’ di dalam sarikata.
Menurut laporan akhbar negara itu, SBS News kemudian memadam sebelum memuat naik semula rakaman asal di laman portal atas talian milik agensi itu.
Hal ini kerana ruangan komen postingan itu dipenuhi dengan kecaman dan kritikan dari pengguna media sosial asal Korea Selatan.
Mereka berpendapat agensi berkenaan bersifat ‘misogyny’ atau berpandangan jelik terhadap wanita selain menuntut permohonan maaf dari SBS News.
Walaupun terkenal dengan filem dan drama romantis, negara maju itu berdepan dengan masalah diskriminasi terhadap kaum wanita.
Berikut adalah ucapan asal Michelle Yeoh ketika menerima anugerah Oscar;
“Ini adalah sinar harapan dan kemungkinan untuk anda. Ini adalah bukti bahawa anda boleh memasang impian yang besar dan mimpi boleh menjadi kenyataan.
“Dan buat para WANITA, jangan biarkan sesiapa mengatakan bahawa anda telah melewati ‘detik kegemilangan’ anda. Jangan sesekali berputus asa.”
Baca juga: Menuduh tanpa bukti, MP Pas tarik balik dakwaan kerajaan sokong LGBT