Jakim sahkan produk roti jenama Ikhwan tiada sijil halal, rupanya selama ini guna logo tidak sah

Oleh WAN SITI AMINAH

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengesahkan produk roti jenama Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Perkara itu dimaklumkan oleh Jakim menerusi satu hantaran di platform Facebook pada Ahad selepas pihaknya melakukan semakan menerusi Portal Halal Malaysia.

Menurutnya, perkara tersebut telah melanggar Akta Perihal Dagangan 2011 di bawah perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Jakim mengambil perhatian serius terhadap pertanyaan diterima mengenai produk (roti) jenama Roti Ikhwan keluaran Global Ikhwan Utara yang sedang tular ketika ini. 

“Semua makanan dan barang-barang tidak boleh diperihalkan sebagai halal dengan cara lain untuk menunjukkan makanan atau barang-barang itu boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam.

“Melainkan jika ia diperakukan sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa dan ditandakan dengan logo sebagaimana yang dinyatakan dalam perintah tersebut,” katanya.

Sehubungan itu, Jakim terus berhubung dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan jabatan agama Islam negeri-Negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan segera.

Pihaknya juga orang ramai mengemukakan aduan berkaitan penyalahgunaan logo halal atau pemalsuan sijil pengesahan halal melalui email rasmi [email protected] untuk tindakan selanjutnya.

“Dalam hal ini, Jakim telah berhubung dgn Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk mengambil tindakan penguatkuasaan segera.

“Sekiranya didapati berlaku penyalahgunaan logo atau sijil halal pada produk, pihak syarikat boleh dikenakan tindakan di bawah Akta tersebut,” jelas agensi berkenaaan dalam hantaran itu.

Terdahulu, pihak Pusat Kajian Ajaran Sesat Malaysia (PUKAS) tampil mempersoal kesahihan logo halal JAKIM pada produk roti Ikhwan menerusi hantaran di akaun media sosial miliknya.

Baca juga: “Buat kerana Allah tau..” – Ozlynn kongsi kisah sebak tutup aurat, hati terbuka masa buat Haji