Jalan, feri dan balai polis jadi fokus usaha calon AMANAH Sarawak di Demak Laut

Oleh BORHAN AHMAD

Dengan berbaki enam hari lagi untuk berkempen, calon Parti AMANAH Sarawak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, Mohamad Zen Peli berazam memperjuangkan suara rakyat terutamanya berkaitan isu-isu di kawasannya.

Malah, beliau mendakwa bahawa wakil rakyat sebelum ini telah dilihat gagal menunaikan janji berkaitan isu pembesaran jalan di kampung di Senari dan Sejingkat seperti yang diuar-uarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-11 pada 2016.

Tegas Mohamad Zen lagi, begitu juga dengan isu perkhidmatan feri untuk penduduk di Kampung Beradek, Semilang dan Tiang Api yang sehingga kini ibarat ‘janji tinggal janji’.

“Ini adalah antara isu yang saya akan bawa. Bahkan banyak lagi hal dan perkara berkaitan masalah penduduk di kampung lain yang tidak mendapat perhatian wakil rakyat sebelum ini.

“Dan yang paling ‘pelik’ ialah masalah capaian internet di kampung – kampung dalam DUN Demak Laut masih lagi kritikal walaupun berada di pinggir bandar,” tambahnya.

Selain itu, beliau turut mempersoalkan kenapa tiada Balai Polis diwujudkan di Demak Laut sedangkan ini merupakan kawasan perindustrian yang menjadi tumpuan orang luar berhijrah ke sini.

Ujarnya, dengan kehadiran masyarakat luar khususnya pekerja asing dari Indonesia, Myanmar, China, Bangladesh dan Pakistan di kawasan ini, kerajaan seharusnya mengambil kira keselamatan penduduk di sini.

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi di Demak Laut agar memilih seorang pemimpin yang benar-benar berjuang untuk rakyat dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya, PRN12 kali ini adalah masa yang tepat untuk pengundi di Demak Laut melakukan pilihan terbaik untuk memilih seorang pemimpin yang berupaya menggalas tanggungjawab dan bukannya sekadar retorik semata-mata apabila berhadapan dengan penduduk kampung.

“Saya menyeru kepada seluruh pengundi di Demak Laut supaya dapat bersama-sama mensejahterakan kawasan kita ini dengan sebaik-baiknya demi anak cucu kita pada masa hadapan.

“Cukuplah kita sebagai rakyat dimomokkan dengan janji-janji apabila menjelangnya pilihan raya tetapi selepas itu tunggu lima tahun lagi tanpa apa-apa tindakan dilaksanakan,” luah Mohamad Zen lagi.