
Laman Belakang atau Lorong Belakang di Jalan Rembia Bukit Bintang, Kuala Lumpur mempunyai sejarah tersendiri sebagai kawasan hitam sebelum ini.
Dengan usaha dan inisiatif untuk membaikpulihnya, Jalan Rembia di kawasan Alor, Bukit Bintang kini bertukar wajah.
Dari lorong belakang mati yang menyeramkan kini menjadi pusat tumpuan pelancong melihat keindahan mural dan senihiasan yang menarik.
Ia dilakukan melalui ‘Projek Pengindahan Lorong Belakang di Bukit Bintang’ yang dilancarkan oleh Menteri Wilayah Khalid Samad semalam.
Lokasi tapak ini telah dikenal pasti melalui kajian tapak yang telah dilaksanakan pada tahun 2017 dan penyediaan rekabentuk dan pelaksanaan dibuat oleh pihak DBKL secara terancang.
Lorong sisi dan lorong belakang merupakan laluan pintas yang sering digunakan oleh penduduk dan pejalan kaki di sini kerana ianya tidak mempunyai gangguan dari kenderaan.

Walaubagaimanapun keadaan lorong sisi dan lorong belakang yang gelap, berbau dan kotor menjejaskan keselesaan dan keselamatan penggunaan di sini.
DBKL telah mengambil inisiatif untuk memberikan imej baru dan menceriakan lorong belakang dan lorong sisi serta meletakkan pencahayaan waktu malam agar ianya selamat.
Menurut Khalid, pelaksanaan projek pengindahan bandar di kawasan ini telah mendapat sokongan dan kerjasama yang baik dari penduduk setempat.
Mereka turut terlibat di dalam memberikan idea dan membantu di dalam kerja-kerja penyelarasan bersama pemilik bangunan yang terlibat.
Khalid berharap, banyak lagi kawasan lorong belakang di Kuala Lumpur dihias agar bukan menjadi kawasan mati lagi tetapi kawasan indah dan hidup.
Projek pengindahan lorong belakang ini melibatkan 7 lorong dan 1 ruang awam yang sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Setiap lorong belakang dan lorong sisi di kawasan ini dirancang dan direkabentuk dengan tema yang tertentu untuk mewujudkan perasaan kekitaan.
Menurut Khalid, dengan menjadikan program Walkabout Blueprint Bukit Bintang sebagai asas permulaan bagi perancangan pelaksanaan projek, beberapa lokasi lorong belakang dan lorong sisi yang sering kali digubakan sebagai laluan pejalan kaki telah dikenal pasti
dan ditetapkan.
Pihak DBKL telah memulakan proses penyediaan rekabentuk dan skop pelaksanaan bagi memastikan projek pengindahan ini akan memberikan impak yang positif kepada komuniti di sini.
Katanya, DBKL telah memasang lampu pejalan kaki untuk tujuan keselamatan dan juga lampu dekorasi bagi mencantikkan lorong belakang dan memberikan keunikannya yang tersendiri.
Di samping itu, bagi memberikan satu suasana yang lebih segar dan baru kepada lorong belakang ini, elemen mural pada dinding bangunan dibuat sebagai nilai tambah (value added) kepada lorong belakang ini.

“Dan baru-baru ini kalau tuan-tuan dan puan-puan ada melihat, imej baru lorong belakang Bukit Bintang ini telahpun menjadi tular di media sosial seperti facebook, instagram dan juga media massa negara.
“Kreativiti mural ini tidak hanya terbatas pada dinding bangunan sahaja, permukaan jalan turut dijadikan sebagai kanvas untuk melukis mural. Elemen pokok-pokok hidup turut digunakan sebagai penghias dinding bangunan,” katanya.
Yang merisaukan Khalid adalah kebolehan projek ini tidak kekal lama kerana beliau bimbang dengan vandalism.
“Dalam setiap pelaksanaan kerja pengindahan bandar atau mana-mana projek pembangunan, cabaran yang terbesar yang akan dihadapi adalah masalah vandalism.
“Begitu juga projek pengindahan lorong belakang ini, apa yang kita risaukan ialah vandalisma ke atas mural yang telah dibuat.
“Namun saya percaya, bantuan dan kerjasama yang diberikan oleh pemilik bangunan, penduduk dan komuniti di sekitar kawasan ini telah banyak membantu pihak DBKL memantau dan memastikan lorong-lorong yang telah dipertingkatkan ini sentiasa berada di dalam keadaan yang terbaik.
“Terima kasih saya ucapkan di atas kerjasama erat tersebut,” katanya.