Sudah ramai rakyat Malaysia yang mencuba Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) INSAN untuk mendapatkan pendapatan selepas diberhentikan kerja.
Walaupun pada mula inisiatif ini dikritik namun dilihat ia sudah membantu banyak keluarga untuk mendapatkan pendapat bulanan buat menyara keluarga.
Dikenali sebagai Hisham, bapa kepada enam orang anak ini memilih untuk meletakkan ‘vending machine’ di Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bukit Mertajam.
Mula bekerja sebelum Subuh untuk mengisi semula makanan habis dijual, Hisham ditemani isterinya Wani yang turut membantu dalam penyediaan makanan.
“Dalam setahun saya buat perniagaan ‘vending machine’ ni, saya dengan isteri sama-sama buat.
“Antara yang saya jual roti sosej, nasi lemak, burger ayam dan isteri pula tolong buat kek dan teman saya buat isian semula,” ujarnya dalam video.
Pernah bekerja namun diberhentikan selepas syarikat muflis, Hisham mula mengisi borang untuk mendaftar dengan IPR INSAN.
“Saya pernah bekerja sebagai pegawai operasi dekat satu syarikat swasta, kemudian pada tahun 2022, syarikat muflis jadi saya tak kerja.
“Masa tu rasa susah sikitlah, komitmen banyak tiba-tiba hilang pekerjaan. Lepas dapat IPR INSAN walaupun tak bekerja tapi sumber pendapatan tu ada,” tambahnya.
Berkongsi mengenai pendapatan untuk setahun, Hisham memaklumkan dia mendapat untung bersih antara RM50k ke RM60k setahun.
“Pernah sekali dapat RM8,000 tapi lepas tolak semua kos, ada dalam RM5,000 untung bersih. Dalam setahun pendapatan kami boleh dapat RM50,000 ke RM60,000.
“Bagi saya IPR INSAN sangat membantu untuk tambah pendapatan keluarga terutamanya buat mereka yang berada di bawah golongan B40,” jelasnya.
Baca juga: Netizen terkejut tengok iklan ‘trip’ nikah di Thailand, agen tawar pakej kahwin dulu bayar kemudian