“Jangan ada pihak ambil kesempatan termasuk hasut rakyat”, Agong terima mengadap pengasas KK Mart

Oleh WAN SITI AMINAH

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan.

Sesi mengadap di Istana Negara, Kuala Lumpur itu difahamkan berlangsung selama 15 minit di mana Chai memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda dan seluruh umat Islam di negara ini.

Permohonan maaf tersebut dilakukan Chai susulan isu melibatkan penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka diasaskannya itu.

Mengundang perhatian ramai, perkara tersebut dikongsikan menerusi satu hantaran tular yang telah dimuat naik di platform Facebook rasmi milik Seri Paduka Baginda.

Sultan Ibrahim dalam pertemuan itu bertitah, semua pihak termasuk KK Mart perlu lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelak perkara sedemikian berulang.

Baginda turut menegaskan bahawa selepas ini, tidak ada lagi mana-mana pihak cuba merumitkan keadaan dengan mengambil kesempatan terhadap isu tersebut.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab. Jangan pisang berbuah dua kali dan saya harap ini kali terakhir saya perlu menegaskan perkara ini.

“Sekali lagi, saya tegaskan jangan ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas perkara ini, termasuk menghasut rakyat. Saya tidak mahu perkara ini berlarutan.” Titah baginda.

Terdahulu, KK Mart mula dihimpit kontroversi dan menjadi sasaran gerakan boikot selepas stoking yang tertera kalimah Allah ditemui di tiga cawangan kedai serbaneka tersebut.

Memandang serius akan kejadian itu, KK Mart kemudian segera bertindak dengan menghentikan penjualan stoking dan membuat satu permohonan maaf terbuka.

Bagaimanapun, Chai dan isterinya iaitu Loh Siew Mui selaku pengarah KK Mart tetap diheret ke Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan pertuduhan sengaja melukakan perasaan orang Islam.

Mereka yang berdepan dengan hukuman penjara sehingga setahun atau denda, atau dengan kedua-duanya sekali itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Sementara itu, tiga kedai serbaneka yang menjadi sasaran kempen boikot itu turut menerima serangan ugutan berbentuk bom petrol di tiga negeri berasingan.

Baca juga: Anggap semua ujian, Bella Astillah tak pernah salahkan takdir