Susulan ketegasan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP tidak membenarkan lagi pengeluaran oleh pencarum menerusi idea i-Ceria, Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menyifatkan Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai angkuh.
“Janganlah angkuh sangat sehingga menafikan hak pencarum yang sedang susah dan terdesak ketika ini yang hakikatnya dijamin oleh Akta KWSP 1991,” katanya.
Beliau meminta CEO KWSP itu merujuk semula Seksyen 54 Akta tersebut yang membenarkan pengeluaran bagi tujuan kelangsungan hidup dan kurungan (m) secara spesifik menggariskan kebenaran pengeluaran akibat pandemik.
Katanya, pencarum bukan mahu mengeluarkan semua simpanan mereka seperti skim i-Citra 1.0 di mana tidak sampai RM22 bilion yang mengeluarkannya.

“Bukan semua pun yang nak keluarkan simpanan mereka! Jika melihat trend i-Citra 1.0, tak sampai RM22 bilion yang mengeluarkannya.
“RM22 bilion berbanding aset pelaburan KWSP melebihi RM1 trilion bermakna hanya 2% sahaja implikasi terhadap aset KWSP,” bidas beliau.
Beliau turut mengingatkan KWSP agar jangan asyik membicarakan kehidupan hari tua jika kelangsungan hidup hari ini pun belum terjamin.
Semalam, Amir Hamzah Azizan berkata, apa yang utama sebagai pengurus dana persaraan adalah memenuhi mandat untuk membina semula simpanan hari tua pencarum.
Tempoh bagi tiga skim pengeluaran sudah pun berakhir iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
Beliau tetap menegaskankonteks utama KWSP seperti yang di bentangkan iaitu mengutamakan bekalan simpanan untuk pekerja yang sudah bersara.
“Kita faham apabila kita terima desakan. Tetapi kena ingat mandat diberikan kepada KWSP mengikut akta adalah menolong ahli mencapai simpanan untuk hari tua,” katanya.
Di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Sharif mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan kewangan “i-Ceria” KWSP, iaitu kemudahan pengeluaran wang buat kali terakhir.
Mohd Salim ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, hal ini kerana terdapat keperluan mendesak bagi sebilangan rakyat Malaysia menggunakan wang persaraan mereka itu bagi tujuan meneruskan kelangsungan hidup.