Semua pihak diingatkan supaya tidak membawa pemikiran ala militan ke negara ini bagi menghalalkan tindakan yang salah dengan menyalahgunakan nama agama.
Pengerusi Pasma Negeri Pulau Pinang, Zolkifly Md Lazim berkata, reaksi segelintir pihak dalam Pas ekoran kes saman fitnah terhadap Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan semalam dibimbangi lebih kepada mempermain sentimen agama.
“Tak boleh bawa (pemikiran) IS ke sini. Isu utamanya adalah kebenaran bukan pertembungan kuffar dengan ulama. Islam tidak membenarkan tuduhan tanpa asas dan bukti walaupun ke atas bukan beragama Islam,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline pagi ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Badan Perhubungan Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim di akaun Facebook kelmarin yang berbunyi, “Suasana di Makamah (Mahkamah) Tinggi PP (Pulau Pinang) kes LGE (Lim Guan Eng) Kuffar Vs Ulama Ust Nasrudin Tantawi.”
Mengulas lanjut, Zolkifly yang juga Pengerusi Amanah Parlimen Balik Pulau berkata, kenyataan berbaur hasutan itu bukan sahaja dilihat mengalihkan daripada isu sebenar tetapi amat berbahaya kerana boleh menggugat keharmonian hidup bermasyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
“Usah terlalu emosional dengan melihat tindakan perundangan oleh Lim Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang) ke atas Nasrudin dari kaca mata perkauman. Dia (Iszuree) tak harus bersifat assabiyyah.
“Kita bercakap soal fitnah. Tidak boleh bawa (sifat pengganas dari) Syria, Iraq ke sini termasuk membunuh orang yang tidak bersalah. Dalam hal ini, dia kena pastikan siapa yang bercakap benar. Bukannya soal orang kafir lawan ulama. Ini sudah lari jauh,” tambahnya lagi.
Dalam hal berkaitan, Iszuree dilihat turut hadir mengiringi Nasrudin di mahkamah itu semalam yang kemudiannya menyaksikan Ahli Parlimen Temerloh mengaku kesal kerana sebahagian artikel, ‘Apa beza Kidex dan Penang tunnel?’ yang ditulis pada 6 Ogos 2014 lalu menyebabkan salah faham terhadap Guan Eng.
Pada 2014 lalu, Iszuree telah disingkir daripada semua jawatan dalam Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ekoran ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Pas di Batu Pahat, Johor yang mengkritik kerajaan negeri berhubung isu dasar perumahan.