Jangan beri gambaran PH akan sokong Ismail walau meterai MoU, tegas Khalid

Oleh KIM SYAZIE

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menegaskan agar semua pihak tidak memberikan gambaran yang salah seolah-olah Pakatan Harapan (PH) menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau mengulangi pendiriannya, bahawa perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik hanyalah untuk menangani masalah Covid-19 dan ekonomi negara.

Ia sama sekali tidak membabitkan apa-apa rundingan sokongan terhadap Ismail katanya.

“Kita bukan sokong Yb Bera, kita hanya mengatakan kita akan bekerjasama untuk menangani masalah Covid-19 dan ekonomi. Tapi soal sokongan terhadap Ismail sebanyak 115 atau 114 Ahli Parlimen, itu bukan masalah kami

“Kalau kamu berbalah antara kamu seperti mana berlaku zaman Pagoh dan saling menjatuhkan, itu nasib awak lah. Bukan kami menyokong kamu. Jangan berikan gambaran bahawa MoU ini menyelamatkan Yb Bera,” katanya dalam perbahasan sidang Dewan Rakyat petang ini.

Pada masa sama, Khalid menegaskan bahawa kedudukan Ismail Sabri hanya akan selamat sekiranya rakan sekutu BN iaitu PN tidak meneruskan budaya khianat mengkhianat seperti yang berlaku ketika pentadbiran PH dan pentadbiran Mahiaddin.

“Dia ada majoriti 114. Kalau 114 tak saling khianat mengkhianat sepeti mana merupakan budaya politik PN-BN, maka dia akan selamat.

“Selamat dan berterusannya kedudukan sebagai PM bukan atas kami tapi atas kamu PN dan BN. Ini supaya kamu lebih berdisiplin dan jangan mengamalkan budaya khianat, tikam di belakang sesama sendiri seperti mana diamalkan hasil Langkah Sheraton,” katanya lagi.