Sejak kebelakangan ini, isu penyondol ataupun perampas pasangan orang lain sering dijadikan topik perbincangan di media sosial terutamanya susulan penularan rakaman seorang guru ‘diterjah’ oleh beberapa wanita.
Guru berkenaan menerima perlakuan sedemikian kerana dipercayai menjalinkan hubungan dengan lelaki berstatus suami orang yang mana salah seorang ‘penerjah’ adalah isteri kepada kekasihnya.
Rakaman itu juga telah menimbulkan perdebatan dalam kalangan netizen berikutan segelintirnya berpandangan tindakan tersebut salah manakala selebihnya bersetuju cikgu berkenaan diserang sebagai balasan perbuatannya.
Isu ini juga telah menarik perhatian seorang penasihat syariah yang dikenali sebagai Nurul Izzah Zainol untuk memberikan ulasan selain berkongsi panduan mengenai langkah-langkah patut diambil sekiranya diri dicurangi.
“Sekiranya suami anda adalah abang ‘Wiring & CCTV’ atau kantoi mahupun sudah tertangkap ada skandal (kekasih simpanan), ini adalah nasihat yang ikhlas daripada saya,” katanya yang membuat perkongsian di laman Facebook.
1. Jangan menyerang penyondol
Sebaik-baiknya cubalah mengelak daripada menyerang penyondol terutamanya ketika emosi sedang tidak stabil kerana dibimbangi boleh menyebabkan seseorang itu hilang akal seterusnya membuat tindakan salah.
Sebagai contohnya, mengadakan perjumpaan sehingga berlakunya pergaduhan yang boleh membawa kepada kecederaan fizikal terhadap penyondol lalu dikenakan pertuduhan jenayah jika laporan polis dibuat.
2. Ambil cuti dan tenangkan fikiran
Ambil cuti selama dua atau tiga hari untuk pergi bercuti dengan tujuan menenangkan fikiran namun sebaiknya tidak membawa anak-anak sebaliknya hantarkan mereka kepada orang kepercayaan termasuk atuk atau nenek.
Hal ini kerana manusia memerlukan ruang untuk berfikir namun diingatkan agar turut berkongsi masalah dengan orang terdekat supaya dapat meluahkan perasaan dan menjaga kesihatan mental.
3. Dapatkan nasihat peguam
Selepas emosi kembali stabil, bolehlah mulakan langkah dengan mendapatkan nasihat perundangan dari peguam mengenai hak untuk bercerai dan menguruskan tuntutan nafkah, harta, hutang serta penjagaan anak.
4. Ketepikan urusan saman pihak ketiga
Urusan saman pihak ketiga sebaiknya diketepikan dahulu kerana proses tersebut memerlukan banyak bukti untuk menyokong dakwaan bahawa sang suami sememangnya diganggu sedangkan dirinya yang sedang angau bercinta.
5. Adakan pertemuan dengan mentua
Selepas dokumen permohonan cerai disiapkan, adakan pertemuan bersama mentua dengan kehadiran suami dan jangan lupa untuk berpenampilan sebaik mungkin untuk kelihatan yakin ketika menghadapi mereka.
Pulangkan semua anak mentua dan beritahu mereka apa yang berlaku berdasarkan fakta yang sebenarnya sebelum menyerahkan dokumen penceraian itu secara profesional dan dengan bangganya.
6. Jangan libatkan anak-anak
Jangan melibatkan anak di dalam masalah rumah tangga terutama mendedahkan kelakuan jijik sang bapa kerana dikhuatiri boleh menjejaskan emosi mereka jika kejadian kecurangan tidak berlaku di hadapan mata mereka.
Baca juga: Cikgu dan ‘abang wiring’ akui salah, dikenakan denda RM5,000